Diterbitkan pada 11 Mac 2025, 14:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada bulan Disember setiap tahun, banyak pihak yang menantikan pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Orang Melayu khususnya dan bumiputera, amnya amat teruja untuk mengikuti perkembangan semasa berkenaan prestasi semasa pelaburan ASB mereka.

Harapannya sudah tentu untuk melihat dividen yang diberikan meningkat berbanding dengan tahun sebelumnya atau sekurang-kurangnya kekal pada kadar dividen yang sama seperti tahun lepas. Yang paling penting, tentu sekali mereka mengharapkan agar kadar dividen tidak turun pada tahun tersebut.

Penulis tidak menafikan bahawa setiap pelabur pastinya menginginkan pemberian dividen yang tinggi atau kompetitif. Namun begitu, dalam keghairahan untuk memperoleh pelaburan yang tinggi, kita juga perlu mengambil kira sejarah penubuhan ASB itu sendiri.

ASB bukan sahaja merupakan satu instrumen pelaburan tetapi juga berjaya mengangkat martabat sosioekonomi bumiputera dan menyatupadukan keharmonian kaum di negara ini melalui pembahagian kekayaan. Dengan memahami peranan ASB dari perspektif yang lebih luas, kita dapat melihat pelaburan ini sebagai satu strategi jangka panjang yang lebih besar, bukan sekadar melihatnya sebagai alat untuk keuntungan jangka pendek sahaja.

Sejarah Ekonomi Negara

Secara ringkas, sejarah ekonomi negara boleh dibahagikan kepada tiga fasa utama, iaitu Sebelum Kolonial, Zaman Kolonial dan Selepas Merdeka. Sebelum campur tangan British pada tahun 1874, sistem ekonomi di Tanah Melayu bersifat sara diri. Hal ini bermakna kegiatan ekonomi dijalankan secara kecil-kecilan dengan tujuan utama untuk menyara diri dan keluarga. Sekiranya terdapat lebihan hasil, barulah dijual atau ditukar untuk mendapatkan barangan keperluan lain. Kegiatan utama pada waktu itu ialah pertanian terutamanya tanaman padi selain perikanan, penternakan dan pertukangan.

Semasa zaman kolonial, struktur ekonomi negara berubah dengan penekanan kepada ekonomi komersial dan perdagangan. Antara contoh yang paling ketara ialah perlombongan bijih timah dan perladangan getah. Perubahan ini meninggalkan kesan mendalam kepada struktur ekonomi negara selepas kemerdekaan dengan banyak sektor ekonomi diwarisi dari era penjajahan. Pada masa ini, pembahagian ekonomi negara turut dikenali berdasarkan kawasan geografi yang didiami oleh tiga kaum utama, iaitu bumiputera, Cina dan India.

Dasar Ekonomi Baru dan PNB

Tragedi 13 Mei 1969 merupakan cerminan jurang sosioekonomi yang sangat ketara terutamanya antara bumiputera dengan bukan bumiputera. Isu seperti kemiskinan, peratusan pemilikan saham, pendidikan, sumber manusia dan pembangunan tanah menjadi faktor utama yang mencetuskan ketegangan tersebut. Satu daripada isu yang mendapat perhatian ialah pemilikan saham dalam kalangan bumiputera.

Pada tahun 1969, kadar pemilikan saham bumiputera hanya mencatatkan 1.5 peratus berbanding dengan 36.4 peratus bagi bukan bumiputera dan 62.1 peratus untuk penduduk asing (Malaysia: Pemilikan Saham Saham Modal Syarikat-Syarikat Berhad, 1969). Ketidakseimbangan ini merupakan akibat daripada dasar kolonial British yang mengamalkan sistem pecah dan perintah yang memberikan layanan yang berbeza antara orang Melayu dengan kaum pendatang.

Rentetan daripada itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970 oleh kerajaan untuk menangani masalah tersebut. Strategi serampang dua mata DEB ialah yang pertama untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan peluang pekerjaan tanpa mengira kaum. Kedua, untuk menyusun semula masyarakat dan menghapuskan pengelompokan kaum berdasarkan fungsi ekonomi. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk merapatkan jurang ekuiti, kerajaan telah menetapkan sasaran 30 peratus pemilikan saham bumiputera sepanjang tempoh 20 tahun pelaksanaan DEB (1971 – 1990).

Bagi merealisasikan aspirasi DEB dan mencapai sasaran pegangan ekuiti bumiputera khususnya dalam sektor korporat, Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah ditubuhkan pada 17 Mac 1978 di bawah Akta Syarikat sebagai sebuah anak syarikat Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB). YPB diasaskan pada 9 Januari 1978 oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak bertujuan untuk menggalakkan komuniti bumiputera memiliki modal saham, membasmi kemiskinan, dan mengubah pembahagian ekonomi berdasarkan bangsa. Pengerusi pertama PNB ialah Tun Ismail Mohd Ali yang juga merupakan Gabenor Bank Negara Malaysia kedua yang menjawat jawatan dari Julai 1962 hingga Julai 1980.

Keterlibatan masyarakat bumiputera dalam menjayakan dasar pegangan ekuiti ini sangat penting. Sepertimana yang dinyatakan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, simpanan dan pelaburan saham amanah memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi masyarakat bumiputera. Beliau menegaskan bahawa keupayaan untuk menabung dan melabur perlu ditanamkan dalam kalangan masyarakat agar mereka tidak terjebak dalam budaya berbelanja tanpa tujuan,

Sehubungan dengan itu, PNB diberikan mandat untuk meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia demi kemakmuran negara. Bagi merealisasikan peranan tersebut, sejak penubuhannya, PNB telah memperluas kegiatan pelaburan untuk mencapai matlamat utama penubuhannya, iaitu mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat sepanjang generasi.

Bermula dengan modal awal sebanyak RM200 juta, PNB kini memiliki aset dan pelaburan strategik bernilai RM300 bilion pada tahun 2022. Hal ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan, malah PNB juga boleh dianggap sebagai pencetus kepada budaya menabung dan melabur dalam kalangan rakyat Malaysia.

 Amanah Saham Nasional dan ASB

Bagi menggembleng simpanan komuniti bumiputera, dana amanah unit pertama PNB, iaitu Skim Amanah Saham Nasional (ASN) telah dilancarkan pada 20 April 1981. Dana ini diwujudkan kerana pada masa itu, majoriti kaum bumiputera menghadapi kekangan dalam kemampuan menabung dan melabur, selain bimbang mengenai risiko pelaburan. Mereka lebih cenderung untuk menyimpan dalam bentuk aset ketara seperti tanah, haiwan ternakan dan tunai.

Oleh itu, ASN dirangka dengan pelbagai ciri unik yang berbeza daripada skim unit amanah yang lain. Antaranya termasuklah harga tetap RM1.00 seunit, pelaburan permulaan minimum sebanyak RM10, penebusan serta-merta serta rangkaian agihan melalui bank dan pejabat pos di seluruh negara. Kejayaan ASN mencatatkan penyertaan yang sangat menggalakkan daripada kaum bumiputera yang sebelumnya tidak pernah melabur dalam produk seumpama ini.

Pada tahun 1990, ASN ditukar menjadi dana harga berubah pertama PNB. Bagi pemegang unit yang ingin terus melabur dalam produk harga tetap, mereka boleh beralih kepada dana baharu, iaitu ASB. Tujuan PNB mewujudkan ASB adalah untuk memastikan agar bumiputera tidak mengeluarkan pelaburan mereka dalam ASN. ASB secara rasmi dilancarkan pada 2 Januari 1990 dengan objektif untuk menjanakan pelaburan jangka panjang yang kompetitif dan konsisten serta memastikan pengekalan modal dengan tahap risiko yang minimum.

Selain bumiputera, warganegara Malaysia daripada keturunan atau kategori yang berikut juga layak melabur dalam ASB seperti keturunan Siam/Thai, keturunan Portugis/Eurasian dan mualaf. Terkini, bagi pelaburan maksimum ASB pula dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM300,000 unit manakala had pelaburan minimum yang perlu dikekalkan oleh setiap pemegang unit ialah RM10.

Sepanjang 30 tahun pelaksanaannya, ASB berjaya memberikan pulangan dividen kompetitif kepada para pelaburnya. Pulangan tertinggi pernah dicatatkan pada tahun 1990-an dengan dividen mencapai dua angka, contohnya dividen tahun 1990 sebanyak 14 peratus. Namun begitu, pencapaian tersebut kini agak sukar dicapai. Menurut Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Mohammad Hussin (2020), banyak faktor yang menyumbang kepada penurunan ini termasuklah perubahan prestasi pasaran saham dan ekonomi negara berbanding dengan ketika ASB mula dilaksanakan.

Berdasarkan huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa ASB merangkumi dua aspek utama, iaitu pelaburan dan kesejahteraan nasional. Pertama, dari segi pelaburan, ASB memenuhi ciri-ciri unit amanah yang sesuai untuk majoriti bumiputera berpendapatan rendah. Dengan jumlah pelaburan minimum yang kecil, individu boleh menyimpan secara berperingkat tanpa perlu risau tentang risiko kehilangan modal kerana pelaburan ini dijamin oleh kerajaan. ASB juga mudah dicairkan yang bermaksud pelabur boleh mengeluarkan wang tunai apabila diperlukan. Dari sudut keuntungan, pemberian dividen ASB tetap kompetitif berbanding dengan simpanan atau deposit tetap di bank.

Kedua, dari sudut kesejahteraan nasional, ASB menyokong DEB yang berpegang kepada prinsip pengagihan kekayaan yang saksama dan adil demi kemakmuran serta keharmonian negara seperti yang ditegaskan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1971. Walaupun sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera masih belum tercapai, sebagai pemegang unit ASB, penulis dan masyarakat bumiputera terus berharap agar pencapaian tersebut dapat direalisasikan suatu hari nanti.

 

  

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi