Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Negara berdukacita atas kehilangan seorang ahli akademik dan ekonomi terkemuka, YBhg. Tan Sri Dr. Kamal Salih yang telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Southville City, Dengkil, Selangor, pada pukul 10.30 pagi, 6 Mac 2025.
Sepanjang perjalanan kerjayanya, Allahyarham Tan Sri Dr. Kamal Salih telah menyandang pelbagai jawatan penting. Beliau berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) dari tahun 1973 hingga 1985, memegang jawatan sebagai Profesor, Dekan dan Timbalan Naib Canselor (Akademik). Pada tahun 1986 hingga 1994, beliau dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Pada peringkat nasional, Allahyarham Tan Sri Kamal Salih turut memberikan sumbangan besar sebagai penasihat dasar dan ahli Panel Ekonomi Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 1986 serta menjadi ahli Majlis Perniagaan Malaysia dari tahun 1991 hingga 1996. Beliau juga berperanan penting sebagai Ketua Pelapor Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN1) dari tahun 1989 hingga 1991.
Dalam dunia pendidikan, beliau meninggalkan legasi yang besar apabila menubuhkan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) pada tahun 1992 yang menjadi universiti perubatan pertama di negara ini. Allahyarham berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif IMU hingga tahun 2004. Setelah bersara daripada IMU, beliau berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada Pasukan Petugas Pelaksanaan Kebangsaan (NITF) di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Badawi dari tahun 2006 hingga 2008.
Dalam bidang akademik, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di Jabatan Pengajian Ekonomi dan Pembangunan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM). Di sini, beliau mengkhusus dalam bidang ekonomi, pembangunan, regionalisme dan ekonomi politik antarabangsa. Kajian beliau turut diiktiraf dalam pangkalan data Scopus dengan 13 penerbitan, lima daripadanya diterbitkan semasa beliau berkhidmat di USM dan selebihnya semasa beliau memimpin MIER. Penerbitan beliau banyak tertumpu kepada agihan pendapatan, sistem cukai, kekayaan dan pembangunan wilayah serta komuniti Eropah.
Selain menyumbang dalam bidang akademik dan ekonomi, Allahyarham juga aktif dalam dunia politik. Beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju dari tahun 1996 hingga tahun 1999. Pada tahun 1996, beliau menubuhkan Yayasan Wangsa Maju yang kini dikenali sebagai Yayasan Mahkota dan kekal sebagai pengerusi yayasan tersebut hingga kini.
Pemergian Tan Sri Dr. Kamal Salih merupakan suatu kehilangan besar bagi negara kerana beliau telah memberikan sumbangan yang amat bermakna dalam pembangunan ekonomi dan pendidikan di Malaysia. Jasanya dalam bidang akademik, penyelidikan serta pembangunan negara akan terus dikenang dan dihargai.