Diterbitkan pada 6 Mac 2025, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan ARM Limited (Arm) telah memeterai perjanjian sebagai rakan kongsi Asia Tenggara pertama yang akan membantu meningkatkan sektor semikonduktor negara.

Menurut MIDA, perkongsian pada peringkat negara yang pertama kali dilaksanakan itu akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam inovasi semikonduktor global.

Seiring dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang dilancarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perkongsian strategik empat tahun berkenaan akan merevolusikan ekosistem semikonduktor Malaysia melalui tiga inisiatif utama.

Tambah MIDA, pertamanya, perkongsian tersebut akan mewujudkan program latihan komprehensif untuk 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC) dan mewujudkan pekerja berkemahiran yang mantap untuk industri.

Kedua, perkongsian berkenaan juga akan menyediakan syarikat Malaysia terpilih dengan akses istimewa kepada teknologi canggih dan portfolio protokol Internet (IP) Arm.

Jelas MIDA lagi, yang ketiga, perkongsian tersebut akan memudahkan pembangunan produk semikonduktor reka bentuk tempatan dan memajukan negara untuk menghasilkan cip yang lebih maju di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Aziz berkata, pemeteraian perjanjian berkenaan dan semua pelaburan berteknologi tinggi lain termasuklah sebanyak RM55.8 bilion pelaburan dalam elektrik dan elektronik (E&E) yang diluluskan untuk tahun 2024 ialah testimoni jelas kepimpinan Perdana Menteri Malaysia dalam membantu memeterai perjanjian dengan syarikat global terkemuka yang menghargai cadangan nilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Jelas beliau,

Semua pelaburan ini akan melengkapkan Malaysia dengan keupayaan reka bentuk semikonduktor yang diperlukan oleh ekonomi kita untuk menjanakan eksport bernilai lebih tinggi dan menggerakkan pemain industri kita ke rangkaian bekalan global.

Tambah beliau, perjanjian MIDA-Arm juga akan membuka jalan kepada negara untuk menghasilkan cip buatan Malaysia yang memenuhi piawaian global dan pada masa yang sama akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pekerjaan bernilai lebih tinggi untuk rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, YBhg. Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid pula berkata, perkongsian ini menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi yang mampan dan menarik peneraju semikonduktor global sekali gus membangunkan kumpulan bakat tempatan Malaysia.

Jelas beliau,

Kami sedang mewujudkan laluan untuk syarikat tempatan berkembang daripada pembuatan “back end” kepada reka bentuk cip bernilai tinggi dan masanya sangat sesuai seiring dengan minat pelabur asing yang semakin meningkat dalam aktiviti reka bentuk di Malaysia.

Menurut MIDA, kerjasama ini adalah susulan prestasi pelaburan Malaysia yang luar biasa pada tahun 2024 yang menyaksikan pelaburan diluluskan sebanyak RM378.5 bilion, tertinggi dalam sejarah negara dan pertumbuhan 14.9 peratus dari tahun ke tahun.

Tambah MIDA, industri E&E, iaitu tonggak kekuatan perindustrian Malaysia menerajui lonjakan itu dengan menarik RM55.8 bilion pelaburan dan menyumbang 46.3 peratus daripada jumlah keseluruhan sektor pembuatan.

Perkongsian ini menekankan peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi global, mengukuhkan daya tarikan negara sebagai hab untuk inovasi bernilai tinggi, reka bentuk semikonduktor dan pembuatan termaju.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi