Diterbitkan pada 4 Mac 2025, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini dikendalikan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama-sama dengan Putrajaya dan Labuan yang masing-masing diuruskan oleh Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yang Berhormat (YB) Dr. Zaliha Mustapa, keseluruhan proses daripada permohonan lesen, cabutan undi petak bazar, penyediaan tapak hingga pemantauan operasi kini dikendalikan sepenuhnya oleh DBKL tanpa melibatkan pihak ketiga. Langkah ini diambil untuk mengelakkan manipulasi dan menjamin peniaga dapat berniaga dengan adil.

Dr. Zaliha Mustapa menjelaskan bahawa sistem permohonan kini dilakukan secara dalam talian dengan cabutan undi petak bazar disiarkan secara langsung di Facebook rasmi DBKL untuk memastikan ketelusan. Sekiranya terdapat petak kosong, permohonan tersebut akan dibuka semula berdasarkan kaedah “tiba dahulu layan dahulu”. Kaedah ini memberikan peluang kepada peniaga yang layak untuk mendapatkan ruang perniagaan.

Tambah beliau, langkah ini berjaya mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh peniaga yang sebelum ini terpaksa membayar lebih akibat manipulasi pihak ketiga. Tahun ini, DBKL menetapkan kadar sewa yang lebih munasabah, iaitu RM500 termasuk cagaran RM200 yang akan dipulangkan sekiranya peniaga mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

Namun begitu, beliau mengakui sedikit kekecewaan berikutan cubaan pihak tertentu untuk menjual petak secara haram melalui aplikasi WhatsApp. Tindakan tegas akan diambil termasuklah laporan polis bagi menangani isu manipulasi lesen.

Tahun 2025 merupakan tahun pertama pelaksanaan sistem baharu ini. DBKL dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus memperbaik pengurusan bazar dengan mengambil kira maklum balas daripada peniaga dan orang ramai.

 

Kredit Foto: Dr. Zaliha Mustapa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi