Diterbitkan pada 3 Mac 2025, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanannya, iaitu Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.

Menurut KWSP, kadar dividen bagi Simpanan Konvensional adalah dengan jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion manakala bagi Simpanan Shariah pula membabitkan agihan berjumlah RM10.19 bilion yang menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11 peratus berbanding dengan RM66.99 bilion yang direkodkan pada tahun 2023 dan jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut.

Aset pelaburan KWSP mencapai RM1,249.71 bilion, naik 10 peratus daripada RM1,135.82 bilion pada tahun 2023 dan peningkatan ini didorong oleh pendapatan portfolio yang kukuh serta jumlah caruman bersih sebanyak RM108.22 bilion, naik 11 peratus daripada RM97.56 bilion pada tahun 2023.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan sama berkata, KWSP berbesar hati untuk mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi bagi tahun 2024 didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta pengurusan portfolio yang berhemah.

Jelas beliau, dengan memanfaatkan perkembangan positif ini, strategi pelaburan KWSP yang pelbagai membolehkan KWSP meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli.

Tambah beliau,

“Pada peringkat domestik, pelaburan yang kukuh, pasaran buruh yang sihat dan inflasi yang stabil telah merangsang permintaan, sementara eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran pertumbuhan teknologi.”

Menurut beliau, di bawah pentadbiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024 serta pelan strategik yang lebih luas di bawah kerangka Ekonomi MADANI telah menarik pelaburan asing dan mengukuhkan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan.

Beliau menekankan ketidaktentuan pasaran yang dialami pada tahun 2024 menggariskan kepentingan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP dalam mengharungi keadaan ekonomi yang mencabar.

Jelas beliau lagi, SAA memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi portfolio yang stabil, memastikan ketahanan jangka panjang portfolio pelaburan KWSP.

Tambah beliau, dengan mengimbangi risiko dan pulangan, pendekatan ini bukan sahaja melindungi dana daripada ketidaktentuan pasaran, tetapi juga menyokong pembayaran dividen yang mampan untuk ahli.

Menurut KWSP, perkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan selesai pada 2 Mac 2025 dan ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi