Diterbitkan pada 28 Februari 2025, 13:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Perai – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima buah institusi dan industri di Pulau Pinang yang berlangsung di Dewan Mutiara Wawasan, Butterworth, Pulau Pinang semalam.

MoU ini melibatkan Syarikat Scientific & Technical Products, Optik Prima Sdn. Bhd., Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), AMS Great Resources Sdn. Bhd. dan Syarikat PBA Resources Sdn. Bhd.

Pengerusi PERDA, YBhg. Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin berkata, MoU diadakan dijangka memberikan pelbagai manfaat kepada semua pihak sekali gus memperkukuh rangka kerja kerjasama khususnya dalam bidang pendidikan.

Menurut beliau, kerjasama antara PERDA dengan syarikat Scientific & Technical Products sangat signifikan berdasarkan keupayaannya dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), pengujian perisian dan peralatan Internet benda (IoT), di samping menyediakan kepakaran dalam penyediaan makmal keselamatan siber.

Sumbangan kepakaran dalam peralatan, alat pengujian dan aksesori optik gentian antara Syarikat Optik Prima Sdn. Bhd. dengan Jabatan Teknologi Maklumat PERDA-TECH dilihat sangat relevan. 

MPOB merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang memainkan peranan dalam menjamin kelestarian industri kelapa sawit Malaysia yang bersesuaian dengan sukatan pelajaran penuntut Sijil Kejuruteraan Pertanian yang ditawarkan oleh PERDA-TECH.

Syarikat AMS Great Resources Sdn. Bhd. yang mempunyai 18 cawangan pusat servis kereta dan pusat servis penyaman udara seluruh Malaysia. Hal ini membuka peluang kerjasama bagi penuntut di PERDA untuk menjalankan latihan industri serta berpeluang mendapat pekerjaan tetap.

Kerjasama dengan PBA Resources Sdn. Bhd. pula ditandatangani dalam usaha untuk melaksanakan program Operasi Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water) dengan pembabitan 15 orang peserta program di bawah MoU ini selama tiga tahun bagi menyokong agenda kerajaan yang menyasarkan pengurangan tahap NRW kepada 25 peratus pada tahun 2025.

YBhg. Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein berkata, persefahaman ini bertujuan agar PERDA-TECH terus kekal relevan dengan menawarkan program pengajian kemahiran yang seiring dengan perkembangan teknologi dan mengikut kehendak industri serta menjadi penyumbang tenaga kerja mahir kepada negara.

“Kerjasama strategik seperti ini mampu menambah baik hala tuju pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dari segi pengetahuan, penyediaan peralatan pembelajaran dan pembangunan modal insan kepada semua pihak yang terlibat,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Pengurus Besar PERDA, YBhg. Dato’ Mohd Asri Baharum;  Ketua Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Utara, YBrs. Encik Mohd Noor Azam Ayob; Ketua Eksekutif PBA Resources Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Ir K.Pathmanathan; Pengarah PERDA-TECH, YBrs. Encik Zolkhifli Mohamed; Ketua Pegawai Operasi AMS Great Resources Sdn. Bhd., YBrs. Encik Azwan Ahmad, Pengarah Urusan Scientific & Technical Products, YBrs. Encik Tony Tee Boon Chai dan Pengarah Urusan Optik Prima Sdn. Bhd., YBrs. Encik Yean Fook Yeah. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi