Diterbitkan pada 27 Februari 2025, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS) dan Vietnam Oil and Gas Group (Petrovietnam) akan mempercepat kerjasama dalam sektor tenaga di Vietnam meliputi aktiviti huluan dan hiliran, gas serta tenaga boleh baharu.

Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kedua-dua syarikat ini sedang giat bekerjasama dalam penjanaan kuasa dan sambungan grid dari Vietnam ke Malaysia dengan fokus kepada tenaga boleh baharu.

Beliau turut mempelawa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, YBhg. Tan Sri Tengku Muhammad Taufik untuk menyertai beliau dalam lawatan ke Vietnam bagi mempercepat perbincangan dengan Petrovietnam.

Ujar beliau,

Kerjasama antara PETRONAS dengan Petrovietnam melibatkan pelaburan bernilai berpuluh bilion ringgit dan dijangka memberikan pulangan yang baik kepada negara. Oleh itu, saya meminta Tengku Muhammad Taufik untuk turut serta dalam lawatan ke Vietnam bagi menyelesaikan perbincangan ini. Jika beliau tidak hadir mungkin perbincangan akan tertangguh.

YAB Datuk Seri Anwar berharap agar perjanjian kerjasama antara PETRONAS dengan Petrovietnam di kawasan sempadan maritim kedua-dua negara dapat dimeterai pada Mei ini.

Beliau menyatakan bahawa inisiatif ini seiring dengan matlamat ASEAN Power Grid (APG) yang bertujuan untuk mengukuhkan jaminan tenaga di rantau ASEAN melalui penyepaduan infrastruktur tenaga.

Pada tahun 2023, PETRONAS dan Petrovietnam menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) untuk meneroka peluang dalam tenaga mampan, gas asli cecair dan petrokimia termasuklah usaha kerjasama dalam penyahkarbonan. MoC itu ditandatangani oleh YBhg. Tengku Muhammad Taufik dan Dr. Le Manh Hung.

Menurut YBhg. Tan Sri Tengku Muhammad Taufik dalam laporan mengenai MoC itu, kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat dalam membekalkan tenaga secara bertanggungjawab serta menyokong pertumbuhan ekonomi ke arah masa depan rendah karbon.

Tambah beliau, kedua-dua pihak berhasrat untuk terus menyediakan penyelesaian praktikal kepada negara masing-masing dan rantau ini sebagai sebahagian daripada usaha menuju peralihan tenaga yang adil secara beransur-ansur dan bertanggungjawab.

Ujar beliau lagi,

Dalam memenuhi tanggungjawab kami sebagai syarikat tenaga nasional, kami beraspirasi untuk menggabungkan keupayaan teknologi dan kepakaran kami dalam membangunkan penyelesaian tenaga merangkumi sumber hidrokarbon serta tenaga yang lebih bersih.

PETRONAS memulakan penerokaannya di Vietnam pada tahun 1991 dan sebagai pelabur terawal dalam sektor huluan negara itu telah membentuk kerjasama strategik dengan pemain industri utama bagi memajukan industri minyak, gas dan petrokimia di Vietnam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi