Diterbitkan pada 27 Februari 2025, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Genting Highlands – Kerajaan Negeri Pahang terus memberikan tumpuan kepada usaha mempermudah proses pelaburan di negeri ini dengan merancang untuk mewujudkan satu garis panduan pelaburan yang akan menjadi rujukan utama kepada bakal pelabur yang ingin melabur di sini.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib ketika merasmikan Bengkel Pelaburan Negeri Pahang 2025: Pahang Ease of Doing Business – Innovate to Elevate yang disertai oleh lebih daripada 50 agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) Pahang yang diadakan di Geo Resort & Hotel, hari ini.

“Garis panduan berkenaan merangkumi keseluruhan proses pelaburan bermula daripada peringkat permulaan sehingga ke proses akhir yang melibatkan dasar sektor awam dan swasta,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, “Dengan adanya garis panduan ini, para pelabur akan lebih memahami setiap proses berkaitan dengan pelaburan dalam negeri. Peranan setiap jabatan, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga dapat diteliti dan difahami dengan lebih baik oleh pelabur sekali gus memudahkan urusan mereka membuat keputusan pelaburan.”

Menurut YB Dato’ Mohamad Nizar, “Bagi tempoh tahun 2020 hingga tahun 2023, jumlah pelaburan komited di negeri Pahang mencapai sehingga RM36 billion. Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pelabur menarik diri atau tidak meneruskan pelaburan sehingga mencapai status realised investment.”

“Oleh itu, bengkel ini bertujuan untuk mengenal pasti penyelesaian yang boleh mengukuhkan ekosistem pelaburan dan memastikan kelancaran proses bagi para pelabur,” kata beliau.

YB Dato’ Mohamad Nizar turut menjelaskan antara objektif lain yang ingin dicapai ialah penyediaan pelan pembangunan yang mampan serta infrastruktur yang lebih kondusif bagi meningkatkan daya tarikan pelaburan; dan untuk mempercepat pulangan hasil kepada kerajaan negeri melalui kemasukan projek pelaburan yang berimpak tinggi.

“Melalui Pelan Transformasi Ekonomi 2030, kerajaan negeri menyasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai mencecah RM100 bilion berbanding dengan RM65 bilion pada tahun 2023.”

“Perkara ini adalah seiring dengan hasrat YAB Menteri Besar Pahang dalam ucapan Matan Belanjawan 2025, iaitu memperkasakan Invest Pahang sebagai gerbang pelaburan utama di negeri ini,” kongsi beliau lagi.

Dalam masa yang sama, sesi perkongsian berkenaan pengurusan pelaburan oleh penceramah jemputan dari Kulim High Technology Park (KHTP), Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan PLAN Malaysia, Pahang turut diadakan sebagai medium untuk percambahan idea dan pemikiran bernas kepada semua peserta yang hadir.

Antara peserta yang hadir dalam Bengkel Pelaburan Negeri Pahang 2025.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi