Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengumumkan bahawa Cawangan Guaman Lembah Klang (CGLK) Selangor akan mula beroperasi di dua lokasi baharu bermula 1 Mac 2025. Langkah ini dilakukan bagi memperkukuh tindakan perundangan dalam aspek percukaian, dengan penempatan khusus bagi kes pendakwaan di Shah Alam dan kes guaman sivil di Petaling Jaya.
Pejabat di Shah Alam akan bertempat di Tingkat 13, Plaza Perangsang, Persiaran Perbandaran dan akan menumpukan kepada pengendalian kes Notis Pemberitahuan Tindakan Pendakwaan. Kes yang akan dikendalikan termasuklah pelanggaran di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976 serta Kaedah-kaedah Cukai Pendapatan 1994. Antara kes utama ialah berkaitan dengan borang cukai, Potongan Cukai Bulanan (PCB), ansuran CP204 dan CKHT.
Sementara itu, pejabat di Petaling Jaya yang terletak di Tingkat 12, No. 8, Jalan PJU 8/8A, Bandar Damansara Perdana akan menumpukan kepada kes guaman sivil yang melibatkan tindakan mahkamah termasuklah pelepasan cukai di bawah Seksyen 104 ACP 1967.
Sehubungan dengan pengoperasian baharu ini, Pejabat HASiL CGLK yang sebelum ini beroperasi di Klang akan ditamatkan mulai 1 Mac 2025. Pembayar cukai yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan dengan undang-undang percukaian boleh mendapatkan perkhidmatan di kaunter khidmat rundingan yang disediakan di kedua-dua pejabat baharu. Kaunter ini akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
HASiL menjelaskan bahawa pemisahan tindakan sivil dan pendakwaan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kes perundangan percukaian. Dengan langkah ini, pihaknya yakin dapat memperkukuh strategi menangani ketirisan cukai, meningkatkan kutipan hasil negara serta memperkemaskan penyampaian perkhidmatan kepada pembayar cukai di Selangor.