Diterbitkan pada 26 Februari 2025, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia menerajui usaha dalam merangka Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030, sebuah inisiatif strategik yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dan ketahanan siber di rantau ini.

Timbalan Menteri Digital, YBhg. Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong menekankan kepentingan rangka kerja tadbir urus data yang kukuh seperti Kerangka Kerja Pengurusan Data ASEAN (DMF) dan Model Klausa Kontrak (MCC) ASEAN dalam memastikan keselamatan data, pematuhan peraturan dan operasi perniagaan rentas sempadan yang lancar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan sempena prapelancaran Perkhidmatan Pertahanan Digital Siber dan Keselamatan Asia (CyberDSA) 2025.

Ujar beliau,

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia turut komited dalam memastikan kelancaran aliran data rentas sempadan yang menjadi elemen penting dalam memperkuat keselamatan siber serantau.

Beliau juga mengakui bahawa perbezaan undang-undang perlindungan data antara negara ASEAN merupakan cabaran yang perlu ditangani melalui dasar yang harmonis, penilaian risiko berkala dan pembinaan infrastruktur yang kukuh.

Tambah beliau,

Memperkasakan keselamatan siber selari dengan usaha pada peringkat serantau akan membantu membentuk persekitaran digital yang selamat dan berdaya tahan. Hal ini juga akan memberikan manfaat kepada perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) untuk memanfaatkan peluang rentas sempadan dengan penuh kepercayaan serta pematuhan.

Pada tahun 2024, acara tersebut menyaksikan penandatanganan 15 memorandum persefahaman (MoU) dan berjaya menjanakan nilai perniagaan sekitar RM120 juta sekali gus mengukuhkan kedudukan CyberDSA sebagai pemacu utama dalam kemajuan ekonomi dan teknologi.

CyberDSA yang dijadualkan berlangsung dari 30 September 2025 hingga 2 Oktober 2025 akan menjadi platform utama untuk memperkukuh daya tahan keselamatan siber, menggalakkan kerjasama antarabangsa serta mempercepat pembangunan dan penerapan penyelesaian keselamatan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, CyberDSA telah berkembang sebagai acara keselamatan siber terkemuka di Malaysia berteraskan kandungan berkualiti dan direka khas oleh industri untuk keperluan industri.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong hadir bagi mewakili Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo.

Beliau turut menyatakan bahawa dengan jangkaan kehadiran yang lebih tinggi, CyberDSA 2025 diharapkan dapat melangkaui jumlah transaksi perniagaan pada tahun sebelumnya.

Dengan tema “Menerajui Masa Depan Negara Digital yang Berdaya Tahan,” CyberDSA 2025 bakal menampilkan lebih daripada 150 pempamer dari 30 negara, 80 delegasi mewakili 20 negara serta 100 penceramah bertaraf antarabangsa yang dijangka menarik lebih daripada 8,000 pelawat perdagangan dari seluruh dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi