Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Ketua Pegawai Eksekutif Todak Culture Sdn. Bhd. merangkap Naib Presiden Bahagian Promosi Produk Todak Holdings, YBrs. Ir. Ts. Nurul Hakimi Haque Fazlul Haque mengumumkan bahawa syarikat itu sedang melalui proses penjenamaan semula sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukannya sebagai jenama gaya hidup terkemuka.
Perkara ini dimaklumkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat mengunjungi butik pakaian dan aksesori ANCLTD X TODAK di Seksyen 13, Shah Alam dalam satu lawatan yang turut disertai oleh kumpulan kayuhan berbasikal TTG Kuala Lumpur, yang diketuai oleh baginda pada Isnin lalu.
Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif ANC Limited, YBrs. Encik Syahir Hamdan, serta Ketua Pegawai Eksekutif Todak Paygate Sdn. Bhd., YBrs. Tuan Haji Roslan Rashid.
Dalam lawatan tersebut, baginda dipersembahkan dengan koleksi terbaharu yang menampilkan rekaan pakaian siar (street wear) kontemporari serta kerusi permainan e-sukan ergonomik.

Butik ANCLTD X TODAK bukan sekadar ruang jualan, tetapi juga berfungsi sebagai pusat komuniti bagi peminat fesyen dan e-sukan. Pengunjung boleh menikmati pengalaman membeli-belah dalam suasana moden dan interaktif termasuklah mencuba permainan popular di sudut permainan yang disediakan.
Todak Culture Sdn. Bhd. kini mengendalikan dua lagi butik utama di I-City Shah Alam dan IOI Mall Putrajaya, dengan operasi yang disokong oleh gudang utama di Subang Jaya dan Autoville Cyberjaya.