Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 22 Februari 2025, 21:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Presiden Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MPKM), YBrs. Encik Andy Ng Yen Heng berkata, penganjuran Program Perancangan Kewangan My Money and Me di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi tadi menyasarkan golongan belia supaya mengurus kewangan secara lebih bijak pada masa hadapan serta memangkin pertumbuhan pendapatan negara.

Beliau menegaskan, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memupuk amalan menabung dan mengurus perbelanjaan dengan sistematik agar menjamin kesejahteraan pada masa hadapan.

Presiden Majlis Perancangan Kewangan Malaysia, YBrs. Encik Andy Ng Yen Heng ketika menyampaikan kata alu-aluan dalam majlis perasmian program Pengurusan Perancangan Kewangan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, pada pagi tadi.

Menurut beliau, program Kewangan Perancangan Kewangan tersebut telah bergiat aktif sejak tahun 2005 hingga kini untuk memperkenalkan strategi pengurusan perbelanjaan dalam kalangan belia dan golongan B40.

Katanya,

Program Pengurusan Kewangan telah diperkenalkan di beberapa buah negeri, antaranya termasuklah Pulau Pinang, Melaka, Pahang, Johor, Perak, Sarawak dan Sabah.

Selaras dengan tema “Berfikir Sebelum Mengikuti, demi Masa Depan”, program ini memfokuskan empat komponen, iaitu pengurusan aset, perlindungan aset, pengumpulan aset dan pengagihan aset.

Beliau turut mengatakan bahawa laporan kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kertas pembentangan bertajuk “Financial Credibility and Application of Financial Malaysia 2024” menyatakan, sebanyak 14 peratus responden tidak mempunyai pengurusan kewangan dengan bijak manakala sebanyak 53 peratus responden menyimpan wang simpanan daripada pendapatan.

“Trend ini sangat membimbangkan, terutamanya dalam kalangan golongan muda yang tidak cekap menabung dan mengurus perbelanjaan dengan cermat untuk kegunaan masa hadapan,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Encik Azirruan Ariffin ketika merasmikan program tersebut berkata, rakyat Malaysia perlu mempunyai kesedaran terhadap perancangan kewangan peribadi kerana hal tersebut penting bagi menjamin kelangsungan hidup.

Timbalan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), YBrs. Encik Aziiruan Ariffin berucap ketika majlis perasmian program Perancangan Kewangan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, pagi tadi.

“Sering kali kes kebankrapan antara golongan muda pada masa ini amat membimbangkan, maka PERKESO menyediakan platform tawaran pekerjaan khusus kepada golongan belia melalui sistem pekerjaan PERKESO.

“PERKESO juga akan memperkenalkan konsep penyediaan pengurusan kepada golongan belia kewangan sewaktu kecemasan,” jelas beliau.

Beliau juga menasihatkan golongan belia, “sediakan payung sebelum hujan” sewaktu kecemasan atau dibuang pekerjaan untuk kegunaan masa hadapan.

Program Perancangan Kewangan My Money and Me merupakan anjuran rakan kerjasama strategik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Sekuriti, Perbadanan Pengurusan Pelaburan Malaysia, Jaringan Pendidikan Kewangan dan PERKESO.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Pengurus Kawasan Bukit Bintang, Encik Meor Rusydi Mohd Razali; Pengarah Urusan MPKM, Puan Choo Kang Lin; dan Setiausaha MPKM, Encik Anthony Ang Sang Nang.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi