Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pahang menawarkan kos operasi, kos tanah dan sewa pejabat yang lebih rendah berbanding dengan beberapa negeri yang lain serta mempunyai tenaga kerja yang lebih kompetitif yang menjadikan Pahang sebagai pilihan pelabur untuk mengoptimumkan kos perniagaan mereka.
Yang Berhormat (YB) Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi berkata demikian semasa berucap dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) oleh Kementerian Ekonomi bersama-sama Kerajaan Negeri Pahang di Hotel Zenith.
Menurut beliau, beberapa taman perindustrian yang paling menonjol di negeri ini seperti Kawasan Perindustrian Gebeng, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia–China (MCKIP) dan Kawasan Perindustrian Pekan yang sedang berkembang telah menarik pelaburan daripada pelbagai sektor.
Tambah beliau,
Dengan kemudahan infrastruktur moden, ruang yang cukup luas dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal siap pada tahun 2027, taman perindustrian ini memberikan peluang kepada syarikat tempatan dan antarabangsa untuk mengembangkan operasi mereka.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa Pahang memiliki kelebihan strategik dengan adanya Pelabuhan Kuantan, iaitu pelabuhan utama di pantai timur yang memainkan peranan penting dalam perniagaan dan logistik.
Beliau turut berkata,
Pahang tidak hanya kaya dengan sumber alam, tetapi mempunyai institusi pendidikan yang berkualiti. Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan beberapa kolej teknikal di negeri ini berperanan penting dalam melahirkan tenaga kerja terlatih dan kompeten dalam pelbagai bidang.
Menurut beliau lagi, keupayaan Pahang dalam menarik dan melatih bakat tempatan serta mahir menjadi daya tarikan utama syarikat dan pelabur. Dengan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam menyokong pelbagai industri, Pahang menawarkan akses yang kukuh untuk pertumbuhan dan kejayaan jangka masa panjang kepada para pelabur.
Ujar beliau lagi,
Tidak dapat dinafikan setiap negeri mempunyai keunikan dan kelebihan masing-masing. Setiap negeri juga mempunyai cabaran yang perlu diberikan perhatian untuk lebih maju ke hadapan.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan seluruh warga negeri Pahang yang telah bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi dalam menjayakan RMK-13.
Yang turut hadir dalam sesi tersebut ialah YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang selaku wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang; pegawai tertinggi Kerajaan Negeri Pahang dan tetamu jemputan mewakili agensi di seluruh negeri Pahang.