Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 17 Februari 2025 telah meluluskan pelan terperinci bagi membangunkan 110 syarikat semikonduktor dalam aktiviti bernilai tinggi di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sektor tersebut meliputi reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan maju dan pembuatan peralatan termaju.
Pelan ini merangkumi 10 syarikat tempatan berkaitan dengannya yang menjanakan pendapatan tahunan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion, selain mewujudkan 100 buah syarikat semikonduktor yang berpendapatan tahunan sekitar RM1 bilion.
Menurut MITI lagi, NSS yang telah dilancarkan pada bulan Mei 2024 bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global sebagai langkah strategik untuk meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia.
Selain itu, NSS juga bertujuan untuk meningkatkan bilangan bakat mahir dan gaji median dalam sektor pembuatan seiring dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).
Pelan terperinci ini juga menyasarkan anjakan strategik daripada pendekatan yang berasaskan pembuatan kepada pendekatan yang berasaskan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kedaulatan teknologi yang menjurus kepada pembangunan industri melangkaui sektor pembuatan.
Hasrat ini adalah selaras dengan visi ekonomi MADANI untuk meningkatkan kebolehan industri tempatan dalam meneroka pasaran global menerusi peningkatan kapasiti pengeluaran cip bernilai tinggi yang akan terus meningkatkan kemahiran bakat serta pendapatan pekerja tempatan.
Menurut MITI, bagi memastikan pelaksanaan yang tuntas dengan keberhasilan nyata, dasar ini akan dilaksanakan dengan pendekatan seluruh kerajaan.
Sehubungan dengan itu, MITI akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Digital, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Pendidikan Tinggi dan kementerian lain yang berkaitan dengannya.
Dalam kenyataan yang sama, MPN turut meluluskan diplomasi semikonduktor sebagai satu daripada tonggak strategik NSS bagi memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa dan negara ASEAN ke arah memastikan rantaian bekalan global yang mampan dan berdaya tahan.
MITI dan Kementerian Luar Negeri juga akan menjalinkan kerjasama dan kolaborasi yang lebih erat bagi menggerakkan diplomasi semikonduktor serta inisiatif strategik lain yang berkaitan dengannya bagi memperkukuh industri semikonduktor negara.