Diterbitkan pada 17 Februari 2025, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus menggembleng usaha bagi mengatasi ketidakpatuhan pembayar cukai dengan melaksanakan Operasi Pematuhan Cukai (OPC) 2025 yang dikenali sebagai “OP Metro 2.0”.

Objektif OP Metro 2.0 adalah untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai secara menyeluruh dari segi pendaftaran fail cukai pendapatan, penghantaran borang cukai, pelaporan cukai dan bayaran cukai.

Pelaksanaan OP Metro 2.0 ini turut disertai oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan berlangsung selama lima hari mulai 17 Februari 2025 hingga 21 Februari 2025.

Dengan kekuatan seramai 688 orang pegawai HASiL melibatkan 943 kes, OP Metro 2.0 menumpukan operasi di sekitar Lembah Klang dan memfokuskan lima aktiviti utama yang melibatkan audit, pungutan, guaman, pematuhan strategik (siasatan) dan operasi verifikasi pembayar cukai.

Pelancaran operasi bersepadu ini melibatkan Jabatan Pematuhan Cukai, Jabatan Pungutan Hasil, Jabatan Siasatan, Jabatan Perisikan dan Profiling dan pasukan pelaksana dari HASiL Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Operasi ini akan memberikan tumpuan kepada industri perdagangan dan perkhidmatan yang telah dikenal pasti dengan risiko seperti syarikat yang melaporkan pendapatan di bawah margin industri, syarikat yang belum pernah diaudit bagi memastikan pelaporan dibuat dengan betul dan syarikat yang menuntut insentif bagi memastikan tuntutan dibuat mengikut garis panduan.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dalam majlis perasmian menzahirkan ucapan terima kasih kepada JKDM yang sentiasa komited dan memberikan sokongan padu dalam menjayakan operasi yang dijalankan.

Pelibatan ini juga merupakan kali ketiga JKDM bekerjasama dengan HASiL selepas OP Gading di Pahang dan OP Metro 1.0 di Lembah Klang tahun lalu.

Tambah beliau, kolaboratif strategik ini jelas menunjukkan kedua-dua pihak terus komited memenuhi hasrat kerajaan untuk meningkatkan pematuhan cukai dan juga kutipan hasil cukai kepada tahap optimum.

Komitmen yang dizahirkan oleh HASiL dan JKDM adalah untuk memartabatkan prinsip kedaulatan undang-undang dengan memastikan setiap tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.

Gandingan dua agensi pemungut hasil cukai negara ini mampu menghasilkan impak berganda, terutamanya kepada peningkatan kesedaran, tanggungjawab dan kepatuhan percukaian dalam kalangan masyarakat.

Aktiviti operasi yang bersasar menerusi aktiviti penguatkuasaan dan pematuhan yang dijalankan akan dapat memperluas asas cukai serta mengurangkan ketirisan yang merugikan negara seterusnya dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai demi kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah YBrs. Puan Norlela Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, YBhg. Datuk Hisham Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) serta barisan pengurusan kanan HASiL serta JKDM.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Pusat Hubungan HASiL (HCC) melalui talian 03-8911 1000/603-8911 1000 (Luar Negara);
  2. Sembang Langsung HASiL; dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi