Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama-sama dengan Kementerian Perdagangan Republik Turkiye bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa yang bakal menggerakkan dan memantau aspek pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Yang Berhormat (YB) Datuk Armizan Mohd Ali, penubuhan jawatankuasa tersebut bertujuan untuk memastikan keberkesanan kerjasama yang disepakati oleh kedua-dua pihak sebelum ini.
Tambah beliau, kewujudan kerjasama ini menjadi langkah tepat, sekali gus memberikan faedah dan peluang kepada kedua-dua negara untuk berkongsi amalan terbaik, kepakaran, pengalaman serta pengetahuan untuk penambahbaikan dasar dan pelaksanaan program dalam bidang yang telah dipersetujui.
“MoU ini memberikan tumpuan kepada kerjasama berkaitan dengan aspek perlindungan pengguna, pemantauan dan pemeriksaan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Melalui MoU ini, kedua-dua negara akan mendapat manfaat termasuklah penerokaan kerjasama untuk mendalami aspek standardisasi keselamatan barangan, pendekatan pendigitalan serta pengumpulan data dan analitik dalam pelaporan kepenggunaan dan harga barangan.
Beliau berkata, perkara tersebut meliputi kaedah pengurusan aduan serta mekanisme pemantauan harga barang dan perkhidmatan.
Sementara itu, KPDN dan Kementerian Perdagangan Republik Turkiye memperkukuh kerjasama strategik melalui MoU yang ditandatangani pada Selasa lalu bersempena dengan lawatan rasmi Presiden Republik Turkiye ke Malaysia.
Jalinan kerjasama rasmi ini ialah kesinambungan daripada perbincangan dan usaha rintis yang telah disepakati bersama-sama Menteri Perdagangan Republik Turkiye semasa lawatan kerja saya ke Republik Turkiye pada bulan September 2024.
Dokumen MoU tersebut ditandatangani oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali bersama-sama dengan Menteri Perdagangan Republik Turkiye, Tuan Yang Terutama (TYT) Profesor Dr. Omer Bolat dan majlis pertukarannya disaksikan oleh Presiden Republik Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.