Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLipis – Pembinaan kilang peluru automasi pertama di Malaysia oleh Ketech Asia Sdn. Bhd. (KASB) di atas tanah seluas 100 ekar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dijangka bakal menjanakan ekonomi negeri Pahang khususnya dalam sektor pertahanan.
Proses pembuatan peluru variasi sembilan milimeter dan 5.56 milimeter dengan menggunakan mesin berteknologi tinggi dapat memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk daerah Lipis dan negeri Pahang keseluruhannya.
Menurut Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang selaku wakil rasmi kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pembinaan kilang peluru tersebut merupakan suatu pencapaian yang besar dalam sektor pertahanan di negeri Pahang.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Kilang Peluru KASB di sini, semalam.
Tambah beliau lagi,
Pembinaan kilang peluru ini menjadi suatu kebanggaan apabila peluru yang dihasilkan merupakan buatan tempatan dan membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan dan teknikal dengan mengutamakan masyarakat tempatan khususnya di daerah Lipis dan kawasan sekitar.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan kilang peluru tersebut yang telah bermula sejak tahun 2022 dapat mengimbangi pembangunan ekonomi di seluruh negeri Pahang termasuklah perancangan pembangunan projek lain yang sedang giat dibangunkan.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mencemar duli melawat keseluruhan kawasan kilang tersebut sebaik sahaja tiba di kawasan kilang dan seterusnya merasmikan Kilang Peluru KASB.
Yang turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Ketua Polis Negara, YBhg. Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Setiausaha Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob; Ketua Pegawai Eksekutif KASB, Yang Berusaha Encik Mohd Nahar Nasir dan tetamu jemputan.