Diterbitkan pada 6 Februari 2025, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memuat naik data My Local Stats 2023 melalui visual interaktif yang menyediakan paparan statistik sosioekonomi utama pada peringkat negeri dan daerah pentadbiran bagi tempoh pentadbiran antara tahun 2019 hingga tahun 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, visual paparan statistik ini berdasarkan penerbitan My Local Stats 2023 yang  dikeluarkan pada 22 November 2024 dan boleh diakses menerusi portal DOSM serta aplikasi mudah alih DOSM.

Jelas beliau,

Visual interaktif My Local Stats direka untuk memudahkan pencarian data sosioekonomi setempat dengan platform mesra pengguna dan merupakan platform baharu untuk mengakses statistik secara visual, sekali gus dapat membuat capaian data dengan mudah serta efisien.

Tambah beliau, platform ini merangkumi 16 bidang statistik meliputi 12 bidang sosial, iaitu Maklumat Asas, Penduduk, Perumahan, Guna Tenaga, Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah, Pendidikan, Kesihatan, Perkhidmatan Kebajikan, Keselamatan Awam, Perhubungan dan Rekreasi, Internet dan Media Sosial serta Kemudahan Asas,

Katanya, selain itu platform ini juga merangkumi empat bidang ekonomi, iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Indeks Harga Pengguna, Eksport dan Import serta Sektor Ekonomi (Pertanian, Perlombongan dan Pengakuarian, Pembuatan, Pembinaan dan Perkhidmatan).

Beliau berkata, platform ini menyediakan akses kepada 381 indikator pada peringkat nasional, 238 indikator pada peringkat negeri dan 101 indikator pada peringkat daerah pentadbiran.

Jelas beliau lagi,

Antara indikator yang dimuatkan dalam visual interaktif versi portal dan mudah alih termasuklah saiz keluasan tanah mengikut negeri dan daerah pentadbiran, data penduduk mengikut negeri, jantina dan kumpulan etnik, data perkahwinan dan perceraian, maklumat tenaga buruh, statistik perumahan seperti stok kediaman sedia ada dan jumlah kediaman yang dirancang.

Tambah beliau, visual interaktif juga menyediakan maklumat prasarana seperti bilangan hospital dan klinik kerajaan, balai polis dan balai bomba, pusat perkhidmatan orang kurang upaya, kanak-kanak dan warga emas serta tandas awam.

Melalui platform ini, pengguna dapat meneroka maklumat sehingga ke peringkat daerah pentadbiran dan membuat perbandingan antara negeri dan daerah lain.

Menurut beliau, maklumat ini sangat berguna dalam merancang pembangunan yang lebih strategik dan berkesan di kawasan yang terlibat selain berperanan penting dalam menilai kesejahteraan masyarakat setempat.

Ujar beliau,

Sebagai contoh, pengguna boleh membandingkan kadar pengangguran, akses kepada kemudahan kesihatan, peluang pendidikan dan ketersediaan kemudahan asas antara daerah.

Platform ini juga akan membantu bagi pengukuran kualiti hidup masyarakat dan menjadi panduan utama dalam merancang penyediaan kemudahan terbaik yang memenuhi keperluan khusus bagi sesebuah kawasan.

Beliau turut menegaskan statistik yang lebih terperinci ialah asas penting dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar bagi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya lagi, maklumat yang tersedia akan memberikan manfaat besar kepada masyarakat yang membolehkan perancangan dan pengurusan sumber yang lebih cekap oleh pihak pembuat keputusan pada peringkat daerah dan kerajaan tempatan.

Visual interaktif My Local Stats ini boleh diakses melalui pautan https://www.dosm.gov.my/portal-main/my/localstats/.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi