Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sejumlah 4.37 juta pekerja akan menikmati kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 berkuat kuasa pada 1 Februari 2025 berbanding dengan RM1,500 sebelum ini.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, perintah gaji minimum baharu itu ditetapkan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.
“Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos ini bagi memastikan majikan diberikan tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut KESUMA, langkah ini bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.
Tambahnya, hal ini juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk “menaikkan lantai” ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat.
KESUMA berkata, semua majikan diwajibkan mematuhi Perintah Gaji Minimum terbabit dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.
Kegagalan majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum itu adalah satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
“Bagi memastikan peralihan ini dapat berjalan lancar, KESUMA menyediakan beberapa inisiatif sokongan kepada majikan dan pekerja, termasuk menyediakan saluran aduan dan pemantauan bagi pekerja yang menghadapi ketidakpatuhan menerusi menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak,” jelasnya.
Menurut KESUMA, pihaknya juga bekerjasama dengan agensi berkaitan dengnannya untuk memberikan panduan dan bantuan kepada syarikat yang memerlukan penyesuaian dalam struktur gaji.
KESUMA mengingatkan bahawa gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan pekerja perlu diberikan gaji setimpal berdasarkan kemahiran maisng-masing.
Tambahnya, pelaksanaan Perintah Gaji Minimum ini merupakan pendekatan besar KESUMA dalam meningkatkan pendapatan pekerja selain pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan usaha merancakkan latihan kemahiran sebagai kaedah meningkatkan keberhasilan dan gaji pekerja.