Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 27 Januari 2025, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Agensi penyelidikan kewangan antarabangsa, Moody’s mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada gred A3 dengan tinjauan “stabil”.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), penarafan tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi sambil mengekalkan komitmen terhadap pembaharuan fiskal meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi global dan perpecahan geopolitik.

Tambah MOF lagi, agensi berkenaan menjangkakan bahawa Malaysia akan menjadi ekonomi dengan penarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang, di samping menyatakan prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia yang memberangsangkan.

Moody’s menjelaskan bahawa kekuatan struktur kredit negara adalah dengan mengambil kira kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor yang menggalakkan perbelanjaan penggunaan serta sokongan oleh pasaran modal domestik yang kukuh dan sistem kewangan yang sofistikated.

Selain itu, agensi tersebut turut mengiktiraf sokongan politik negara yang utuh dalam memberikan ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan, termasuklah penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta undang-undang yang berkaitan dengannya.

Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan berkata, pengesahan penarafan oleh Moody’s merupakan pengiktirafan atas usaha berterusan kerajaan untuk memacu perubahan struktur berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.

“Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia,” jelas beliau.

Kerajaan akan memesatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, selain memberikan keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta mempercepat pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kepelbagaian ekonomi dan peluang baharu.

“Kerajaan juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan saling menguntungkan bagi rantau ini,” jelas beliau lagi.

Dalam hal ini, kerajaan terus komited untuk menambah baik kewangan awam dengan memperkasakan usaha dalam meningkatkan hasil dan rasionalisasi subsidi.

Berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat tahun 2024, Malaysia berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.

Kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada tahun 2025 dengan unjuran antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

Di samping itu, usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka 4.3 peratus daripada KDNK pada tahun 2024 kepada 3.8 peratus pada tahun 2025, secara beransur-ansur selaras dengan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi