Diterbitkan pada 24 Januari 2025, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan lebih banyak insentif baharu melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang memfokuskan dasar yang diperlukan untuk memacu perubahan dalam tingkah laku ekonomi dan masyarakat.

Menteri Ekonomi, YBhg. Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, insentif ini memudahkan peralihan yang diperlukan dalam ekonomi dan masyarakat dengan tujuan untuk menyokong transformasi negara.

Jelas beliau,

Pendekatan baharu dalam RMK-13 ini menekankan bahawa insentif tidak hanya tertumpu pada pengagihan sumber secara langsung, tetapi lebih kepada usaha mewujudkan ekosistem yang menyokong peralihan ekonomi ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing.

Beliau juga menyatakan bahawa RMK-13 tidak lagi akan menjadi dokumen yang hanya menyenaraikan projek kerajaan seperti sebelum ini, tetapi akan memfokuskan dasar dan program yang mempengaruhi tingkah laku yang diperlukan untuk menyokong transformasi struktur ekonomi negara.

Pendekatan baharu ini akan mengurangkan kebergantungan pada pelaburan awam, sebaliknya memberikan ruang kepada sektor swasta untuk memainkan peranan utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan akan terus komited untuk menyelaraskan dasar antara pelbagai kementerian bagi memastikan isu seperti peraturan yang membebankan sektor swasta dapat diselesaikan.

Platform seperti sesi libat urus memberikan ruang kepada kerajaan dan sektor swasta untuk merapatkan jurang pemahaman serta membolehkan kerjasama yang lebih baik.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan mahu sektor swasta menjadi pemacu utama ekonomi, manakala kerajaan berperanan sebagai fasilitator melalui dasar dan program yang menyokong aktiviti tersebut.

Selain itu, kerajaan juga komited untuk mengutamakan dasar pemboleh berbanding dengan campur tangan langsung dalam mendorong kreativiti dan pertumbuhan industri menerusi RMK-13.

Kerajaan akan memberikan tumpuan pada pemerkasaan ekosistem yang kukuh melalui sokongan dasar, peningkatan kecekapan, pembangunan bakat dan insentif struktural untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2028 atau tahun 2029.

”Peranan kerajaan adalah membolehkan dan memudah cara, memungkinkan industri memanfaatkan kreativiti masing-masing dan berkembang dengan bebas yang memerlukan dasar yang mengukuhkan keseluruhan ekosistem,” jelas beliau selepas sesi libat urus bersama-sama peserta industri untuk RMK-13.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi