Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Dagangan Malaysia mengakhiri tahun 2024 dengan jumlah dagangan melonjak daripada RM2.6 trilion pada tahun 2023 kepada RM2.9 trilion, peningkatan sebanyak 11.54 peratus.
Prestasi ini didorong oleh pertumbuhan dua angka dalam eksport 16.9 peratus atau RM20.1 bilion dan import 11.9 peratus, mencecah RM119.3 bilion. Selain itu, imbangan dagangan melonjak 62.3 peratus kepada RM19.2 bilion pada bulan Disember 2024 seperti yang dilaporkan dalam Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia, Disember 2024 semalam. Buletin ini juga membentangkan prestasi produk untuk eksport dan import serta rakan dagangannya.
Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan prestasi eksport Malaysia meningkat selaras dengan kenaikan eksport domestik dan eksport semula pada bulan Disember 2024.
Eksport domestik (79.6 peratus daripada jumlah eksport), meningkat 13.3 peratus kepada RM110.2 bilion dan eksport semula (20.4 peratus daripada jumlah eksport) meningkat 33.5 peratus berbanding dengan bulan Disember 2023, bernilai RM28.3 bilion.
Selain itu, import bernilai RM119.3 bilion, meningkat 11.9 peratus atau RM12.7 bilion. Lebihan dagangan meningkat 62.3 peratus kepada RM19.2 bilion, lebihan bulan ke-56 berturut-turut sejak bulan Mei 2020.
Berbanding dengan bulan November 2024, eksport, import, jumlah dagangan dan imbangan dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan 9.7 peratus, 7.3 peratus, 8.5 peratus dan 27.4 peratus.
“Melihat dari sudut kumpulan barangan, 138 daripada 256 kumpulan eksport dan 163 daripada 259 kumpulan import menunjukkan peningkatan berbanding dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya,” kata beliau.
Ketua Perangkawan Malaysia menggariskan bahawa eksport yang lebih tinggi disumbangkan ke Singapura sebanyak RM6.9 bilion, diikuti dengan Amerika Syarikat (RM4.3 bilion), Taiwan (RM2.6 bilion), Hong Kong (RM2.5 bilion), China (RM1.7 bilion), Australia (RM1.1 bilion) dan India (RM991.5 juta).
Selain itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya dari China sebanyak RM4.2 bilion, diikuti dengan Amerika Syarikat (RM3.5 bilion), Taiwan (RM2.6 bilion), Kesatuan Eropah (RM1.9 bilion), Singapura (RM1.7 bilion), Indonesia (RM1.7 bilion) dan Angola (RM759.6 juta).
Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, beliau berkata kenaikan ini sejajar dengan peningkatan barangan elektrik dan elektronik sebanyak RM12.8 bilion; minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan kelapa sawit (RM1.9 bilion); barangan perkilangan lain (RM1.3 bilion); barangan perkilangan logam (RM1.2 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (RM912.7 juta) dan produk petroleum (RM763.5 juta).
Di samping itu, peningkatan dalam import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik sebanyak RM10.2 bilion; jentera, kelengkapan dan peralatan (RM2.6 bilion); keluaran pertanian yang lain (RM684.3 juta); lain-lain (RM598.5 juta); minyak sayuran lain (RM435.6 juta) serta tekstil, pakaian dan kasut (RM377.1 juta).
Selanjutnya, Ketua Perangkawan Malaysia memaklumkan bahawa pertambahan import mengikut penggunaan akhir adalah seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan perantaraan dan barangan penggunaan.
Import barangan modal (14.6 peratus daripada jumlah import), meningkat 41.5 peratus atau RM5.1 bilion mencatatkan nilai RM17.4 bilion. Import barangan perantaraan (51 peratus daripada jumlah import), bernilai RM60.9 bilion, mencatatkan peningkatan 1.4 peratus atau RM853.1 juta berbanding dengan bulan Disember 2023. barangan penggunaan (8.6 peratus daripada jumlah import), meningkat 11.9 peratus atau RM1.1 bilion mencecah RM10.3 bilion.