Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBrussels – Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA). Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah (EC) Urusula von der Leyen sempena lawatan kerja beliau ke Brussels, Belgium pada 19-20 Januari 2025.
“Langkah menyambung semula rundingan tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan ekonomi Malaysia dengan satu daripada blok perdagangan terbesar dunia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, rundingan ini turut mencerminkan komitmen yang lebih erat dengan EU, antara rakan perdagangan dan pelaburan utama bagi Malaysia.
Pencapaian ini juga menggambarkan kekuatan hubungan yang berterusan antara kedua-dua belah pihak dan komitmen bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi.
Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), MEUFTA dijangka memberikan manfaat besar yang merentasi pelbagai sektor ekonomi Malaysia selain mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor kritikal.
Jelasnya, MEUFTA juga berpotensi untuk meningkatkan eksport daripada sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk berasaskannya serta peralatan optik dan saintifik ke pasaran EU.
Selain itu, MEUFTA akan turut menjadi pemangkin dalam menarik pelaburan baharu dari EU dalam sektor termaju seperti tenaga hijau dan pembuatan termaju selaras dengan matlamat pembaharuan industri dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
PMO berkata, rundingan MEUFTA yang disambung semula itu adalah bukti visi bersama dalam kerjasama ekonomi dan aspirasi untuk membuka potensi perdagangan dan pelaburan.
Kerajaan Malaysia komited untuk mencapai perjanjian yang seimbang dan menyeluruh kepada semua pihak berkepentingan, di samping memastikan faedah bersama antara Malaysia dengan EU.
Tambahnya, kerajaan akan terus mengadakan libat urus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan MEUFTA mencerminkan kepentingan nasional dan aspirasi ekonomi Malaysia.
Pada tahun 2023, EU ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan mencecah RM206.79 bilion. Bagi tempoh bulan Januari hingga bulan November 2024, perdagangan dengan blok itu juga meningkat 5.2 peratus kepada RM200 bilion berbanding dengan tempoh sama pada tahun 2023.
Sehingga tahun 2023, pelaburan EU di Malaysia menjanakan lebih daripada 153,000 pekerjaan melalui sejumlah 1,323 projek yang bernilai RM227.9 bilion.