Diterbitkan pada 18 Januari 2025, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelaksanaan e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menunjukkan perkembangan positif dengan penyertaan awal lebih 4900 pembayar cukai Fasa Ketiga secara sukarela.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh HASiL petang tadi, setakat ini, sebanyak 7000 pembayar cukai Fasa Kedua turut aktif menggunakan sistem ini, menjadikan jumlah keseluruhan pengguna sebanyak 17 000 entiti perniagaan, yang telah menghasilkan kira-kira 137 juta e-Invois.

Inisiatif e-Invois ini akan diperluaskan sepenuhnya pada 1 Julai 2025, melibatkan semua pembayar cukai termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Bagi menyokong penyertaan perusahaan mikro dan kecil dengan pendapatan tahunan di bawah RM150,000, kerajaan telah memberi pengecualian pelaksanaan wajib dan menggalakkan penyertaan sukarela untuk mempercepatkan pendigitalan perniagaan.

HASiL menyediakan Portal MyInvois secara percuma untuk membantu pembayar cukai melaksanakan e-Invois tanpa kos tambahan. Bagi PMKS yang berkeupayaan, kerajaan menawarkan insentif cukai seperti pengurangan tempoh tuntutan elaun modal kepada tiga tahun mulai Tahun Taksiran 2024 dan potongan cukai hingga RM50,000 setahun untuk yuran perundingan pelaksanaan e-Invois, dari 2024 hingga 2027.

Selain itu, tempoh peralihan enam bulan diberikan untuk membolehkan pembayar cukai mengeluarkan e-Invois disatukan secara bulanan tanpa penalti.

DI dalam kenyataan yang sama, HASiL menyebutkan beberapa cabaran seperti kesukaran mendapatkan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) pembeli dan had saiz fail e-Invois yang telah dikenal pasti. HASiL menangani isu ini dengan memperkenalkan platform carian TIN melalui Portal MyTax dan menyediakan panduan teknikal menerusi Software Development Kit (SDK).

Bagi transaksi melibatkan pembekal luar negara, e-Invois Bil Kendiri boleh dikeluarkan oleh pembeli tempatan untuk memastikan rekod transaksi yang tepat.

HASiL memberi jaminan kerahsiaan maklumat sensitif seperti Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), di mana akses hanya diberikan kepada individu yang ditetapkan berdasarkan peranan mereka dalam transaksi e-Invois.

Sebagai rekod, HASiL komited untuk mengadakan lebih 1000 sesi libat urus dengan pembayar cukai, persatuan dan badan profesional untuk memberi bimbingan berterusan. HASiL juga mengalu-alukan maklum balas pembayar cukai bagi penambahbaikan sistem.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen negara untuk mendigitalisasi proses perniagaan, memacu ketelusan dan mengukuhkan sistem percukaian negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi