Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) hari ini mengumumkan penubuhan dan pengoperasian Cawangan Pembayar Cukai Asing (CPCA) yang berpusat di Blok 8, Kompleks Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim (KKJTAH), Kuala Lumpur. Cawangan ini telah beroperasi secara rasmi sejak 1 Januari 2025.
CPCA diwujudkan bagi mengambil alih pengurusan fail cukai pembayar cukai warga asing, individu tidak bermastautin dan cukai pegangan daripada beberapa cawangan HASiL lain, iaitu HASiL Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, HASiL Negeri Wilayah Persekutuan Putrajaya dan HASiL Negeri Selangor.
Menurut kenyataan HASiL, penubuhan CPCA mencerminkan usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi percukaian, khususnya melibatkan pembayar cukai asing. Tumpuan CPCA termasuklah pengurusan cukai penghibur awam bukan pemastautin, kru luar negara dan pelawat asing.
“Pemusatan pengendalian fail pembayar cukai kategori ini membolehkan HASiL merangka strategi lebih mantap untuk menangani ketirisan cukai serta meningkatkan kutipan cukai. Langkah ini diharapkan dapat memperkemas pengurusan percukaian dan menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pembayar cukai,” jelas kenyataan tersebut.
Pembayar cukai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perhubungan HASiL (HCC) melalui talian 03-8911 1000 atau +603-8911 1000 untuk panggilan luar negara. Selain itu, perkhidmatan widget sembang langsung HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas boleh diakses menerusi portal rasmi HASiL.