Diterbitkan pada 16 Januari 2025, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

London – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja lima hari ke London, United Kingdom (UK) bagi memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dengan UK.

Lawatan ini bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri UK, Keir Starmer yang memegang jawatan Perdana Menteri UK sejak bulan Julai 2024, dengan aspek perdagangan dan pelaburan sebagai antara fokus utama dalam perbincangan ini.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim terdahulu tiba di Lapangan Terbang Stansted pada pukul 10.50 malam Selasa waktu tempatan (6.50 pagi Rabu waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar, Penasihat Pertahanan di Malawakil London, Brigedier Jeneral Dato’ Pahlawan Safwan @ Asri bin Ismail, serta pegawai kanan kerajaan UK.

Lawatan kali ini turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada hari pertama lawatan, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri UK di No. 10, Downing Street.

Hasil mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik yang lebih erat dalam bidang pendidikan, ekonomi, pertahanan, tenaga dan kecerdasan buatan.

Pertemuan turut membincangkan penyelesaian isu dan konflik di Myanmar serta Gaza, Palestin.

Selain itu, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga dijangka akan mengadakan beberapa pertemuan penting termasuklah bertemu dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat UK, Sir Lindsay Hoyle pada hari ini.

Delegasi Malaysia akan turut memanfaatkan peluang ini untuk membincangkan hala tuju Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Dalam aspek kerjasama ekonomi, sehingga bulan November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dengan UK mencecah RM15.30 bilion. Walaupun eksport Malaysia ke UK menyusut 4.1 peratus kepada RM7.83 bilion dan import dari UK menurun 3.4 peratus kepada RM7.47 bilion, imbangan dagangan masih memihak pada Malaysia dengan nilai RM225.3 juta.

Semasa lawatan ini, kedua-dua negara juga akan bertukar Memorandum Persefahaman melibatkan Jawatankuasa Bersama Perdagangan Ekonomi dan Mekanisme Sokongan Lain (MUKJETCO) antara MITI dengan Jabatan Perniagaan dan Perdagangan UK.

Perdana Menteri juga akan mengadakan Mesyuarat Meja Bulat bersama 40 syarikat tempatan UK untuk menarik lebih banyak pelaburan di Malaysia.

Antara acara lain yang dijadualkan termasuklah Sesi Libat Urus bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), program InvestMalaysia anjuran Bursa Malaysia, Pelancaran Projek Ladang Solar TNB Malaysia dan Pelancaran Produk YTL Group UK.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga dijadualkan akan menyampaikan syarahan khas di London School of Economics (LSE) bertajuk The Adaptive Edge: Malaysia’s Global Strategy in an Uncertain Era seterusnya merasmikan Auditorium Malaysia di institusi tersebut.

Auditorium ini dinamakan Auditorium Malaysia sebagai penghargaan kepada usaha berterusan alumni LSE Malaysia yang sentiasa aktif dalam program kemasyarakatan di Malaysia dan juga di UK.

Pada hari Jumaat, Perdana Menteri akan menunaikan solat di Masjid London Timur dan bertemu komuniti Islam tempatan. Beliau juga akan menyumbangkan naskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris terbitan Nasyrul Quran Putrajaya kepada pihak masjid.

Lawatan dijadualkan akan diakhiri dengan Majlis Ramah Mesra bersama-sama kira-kira 700 diaspora Malaysia di UK pada 17 Januari sebelum beliau berlepas ke Brussels bagi meneruskan misi lawatan ke negara tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi