Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia sedang mengkaji kaedah teknologi kewangan (fintech) dapat menjadi instrumen utama dalam setiap perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dengan ASEAN.
Jelas beliau,
Kami sedang meneliti kaedah fintech dapat berfungsi sebagai instrumen, pemangkin atau asas utama dalam semua perjanjian perdagangan yang telah kami meterai seperti Perjanjian Tingkap Tunggal ASEAN (ASW) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul menyatakan perkara tersebut dalam “Forum Ilmuwan Malaysia MADANI KPT Siri Empat: Memanfaatkan Teknologi dalam Perkhidmatan Kewangan untuk Meningkatkan Kemakmuran dan Keterangkuman” pada petang Jumaat.
Moderator bagi acara tersebut ialah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Acara itu disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil.
Tambah beliau
Pada masa ini, terdapat 16 perjanjian pelbagai hala dan dua hala antara Malaysia dengan ASEAN dan jumlah ini akan meningkat kepada 17 pada minggu hadapan.
Sementara itu, beliau juga menegaskan kepentingan fintech dalam menyepadukan perdagangan ASEAN serta menyatakan harapan bahawa instrumen itu akan meningkatkan perangkuman yang lebih besar.
Ujar beliau lagi,
Pada masa ini, perdagangan dalam kalangan negara ASEAN hanya menyumbang sekitar 22 peratus hingga 23 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN dengan sebahagian besarnya dikuasai oleh syarikat besar. Namun, seperti yang anda sedia maklum, ASEAN digerakkan oleh perusahaan kecil dan sederhana. Diharapkan FinTech dapat membawa lebih banyak perangkuman kepada urus niaga perdagangan ini.
Walaupun fintech mempunyai potensi yang besar, beliau mengakui wujud cabaran, termasuk jurang dalam kebolehcapaian teknologi.
Jelas beliau,
Apabila kita membincangkan mengenai fintech di ASEAN termasuk Malaysia, tidak semua orang mempunyai akses kepada teknologi tersebut yang merupakan satu lagi isu yang perlu diselesaikan.
Beliau turut menyatakan harapan agar teknologi dan keinklusifannya dapat memberikan manfaat kepada sebanyak mungkin rakyat Malaysia, terutamanya apabila ramai yang mempersoalkan sama ada mereka telah merasai impak daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul menekankan keperluan pendekatan seluruh kerajaan dan negara, serta menyeru kerjasama pihak berkepentingan seperti pelabur, ahli akademik dan penggubal dasar untuk membangunkan masa depan yang inklusif dan mampan.
Yang turut hadir dalam forum tersebut ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malayan Banking Bhd., Datuk Khairussaleh Ramli dan Pengasas Bersama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng.