Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli, dalam Forum Ekonomi Malaysia (FEM) semalam menekankan potensi besar rantau Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai kuasa pengguna global. Beliau menjelaskan bahawa populasi kelas menengah di ASEAN dijangka menjadi majoriti dengan peningkatan sebanyak 65% dalam tempoh lima tahun akan datang, melebihi jumlah kelas menengah di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).
“Dengan populasi sebanyak 655 juta orang, ASEAN bakal menjadi rantau dengan kuasa beli dan taraf hidup yang lebih tinggi. Faktor ini, jika digabungkan dengan demografi yang muda, daya keusahawanan tinggi dan keterhubungan digital, akan menjadikan ASEAN sebagai kuasa ekonomi luar biasa berbanding rantau lain,” ujar YB Rafizi.
YB Rafizi turut menjelaskan bahawa walaupun rantau lain diramal mengalami kelembapan ekonomi, ASEAN dijangka akan mengekalkan pertumbuhan sihat untuk empat hingga lima dekad akan datang. Pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan pembangunan digital di Malaysia dalam dua tahun kebelakangan ini mencerminkan potensi pertumbuhan yang sihat.
Namun begitu, cabaran utama yang dihadapi ASEAN adalah untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana yang bergantung pada tenaga kerja berkemahiran rendah. Menurut YB Rafizi, rantau ini perlu mengutamakan inovasi melalui kerjasama terbuka dan pembangunan teknologi bersama-sama negara ahli.
Beliau turut menegaskan bahawa pertumbuhan ASEAN akan melawan arus global yang kini cenderung kepada proteksionisme dan isolasi yang mengangkat dasar ekonomi yang menyekat kemasukan barangan import dari negara asing melalui langkah seperti mengenakan tarif kepada barangan import dan kuota import. Sebaliknya, ASEAN akan kekal sebagai rantau yang paling banyak berdagang, baik dalam kalangan negara anggota mahupun blok ekonomi lain.
Untuk memajukan ekonomi, kita perlu terus menerapkan dasar perdagangan terbuka dan menjalin kerjasama pragmatik dengan sekutu tradisional dan bukan tradisional.
YB Rafizi turut memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia mengambil pendekatan global dalam perancangan dasar, di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang dijadualkan dilancarkan pada akhir tahun ini. Beliau percaya bahawa dasar ini akan memperkukuh ekonomi Malaysia dan meningkatkan daya saing negara dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.
Menurut beliau, RMK-13 bakal membawa pendekatan yang berbeza daripada rancangan Malaysia sebelumnya, yang lebih tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi. RMK-13 akan memberikan tumpuan kepada aspek pendidikan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja untuk mempersiapkan ekonomi masa hadapan.
Meninjau perkembangan ekonomi Malaysia tahun lalu, beliau merumuskan bahawa pertumbuhan ekonomi pada tahun 2024 menunjukkan prestasi yang baik.
Saya yakin apabila angka rasmi dimuktamadkan bulan depan, Malaysia bakal mencatatkan satu daripada prestasi ekonomi terbaik di rantau ini bagi tahun 2024.
Sebahagian penyumbang kepada prestasi ini disebabkan oleh pelabur dan industri menerima baik perancangan ekonomi negara yang diungkapkan melalui Kerangka Ekonomi MADANI.
“Hasrat negara untuk memberikan tumpuan kepada ekonomi yang berasaskan peralihan tenaga bersih, menjadi pemain semikonduktor utama dunia dan menerajui ekonomi digital diterima baik oleh masyarakat pelabur dunia, yang diterjemahkan kepada jumlah pelaburan asing yang diumumkan sepanjang tahun lalu,” jelas beliau.
Namun begitu, pelabur antarabangsa dan dalam negara terus memberikan perhatian kepada usaha negara dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk masa hadapan. Langkah menangani cabaran fiskal negara, termasuklah usaha konsisten mengurangkan defisit dan hutang, turut menjadi tumpuan. Selain itu, rancangan untuk melonjakkan kepakaran teknologi serta keutamaan dalam reformasi pendidikan juga memainkan peranan penting dalam memenuhi kebangkitan ekonomi Malaysia masa kini.
“Oleh sebab itu, usaha untuk meyakinkan pelabur antarabangsa dan dalam negara perlu diteruskan dilakukan secara menyeluruh,” tegas beliau
Kementerian Ekonomi menetapkan supaya kita memulakan tradisi baru, iaitu setiap tahun perlulah dimulakan dengan sebuah forum peringkat tertinggi mengenai naratif ekonomi negara yang disampaikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri.
“Langkah ini akan meyakinkan pelabur antarabangsa dan dalam negara bahawa dasar-dasar ekonomi negara ada kesinambungan dan dirancang dengan teliti mengambil kira peranan sektor-sektor lain seperti pendidikan, sumber manusia, teknologi, hubungan antarabangsa, perdagangan dan pelaburan serta keselamatan,” tambah YB Rafizi lagi.
Sebagai rekod, Forum Ekonomi Malaysia yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Kementerian Ekonomi telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Sesi forum membariskan anggota kabinet, kapten industri dan pakar ekonomi negara dan antarabangsa. Forum ini membincangkan isu dasar kewangan dan fiskal, pendidikan, jurang ketidaksamarataan sosial serta Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.