Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan menawarkan pakej insentif cukai Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bagi menarik pelaburan bernilai tinggi ke Johor dengan mengambil kira keperluan dinamik pelabur global dan domestik.
Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Johor berkata, pakej ini juga sebagai ikhtiar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara.
Pakej insentif cukai yang boleh dimohon mulai 1 Januari 2025 membabitkan kadar cukai korporat istimewa lima peratus bagi tempoh sehingga 15 tahun, insentif tambahan bagi operasi di kawasan utama JS-SEZ dan kadar cukai istimewa untuk pekerja berpengetahuan sebanyak 15 peratus bagi tempoh 10 tahun.
Syarikat yang membuat pelaburan baharu dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang layak seperti kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum, peralatan perubatan, aeroangkasa dan perkhidmatan hab global berpeluang menikmati kadar cukai istimewa lima peratus bagi tempoh sehingga 15 tahun.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi berkata, pakej insentif JS-SEZ memberikan rangsangan untuk meningkatkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan global.
Menurut beliau, kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Johor telah mengambil langkah proaktif untuk memberikan sokongan penuh kepada JS-SEZ dalam usaha menarik pelaburan.
Tambah beliau,
Dengan pelbagai kelebihan yang dimiliki oleh negeri ini, JS-SEZ akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab perdagangan dan maritim utama di rantau ini
Selain pakej insentif cukai, Kerajaan Negeri Johor juga telah bersetuju untuk memperkenalkan duti hiburan pada kadar yang lebih rendah bermula 1 Januari 2025.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula berkata, pakej insentif cukai JS-SEZ mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan hubungan manfaat bersama yang akan melonjakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
Beliau turut memaklumkan kerajaan mengalu-alukan perniagaan global untuk meneroka peluang besar yang ditawarkan oleh Malaysia.
Tambah beliau,
Dengan kerjasama antara Malaysia dengan Singapura, pakej insentif JS-SEZ ini akan mempercepat kemasukan pelaburan berkualiti dalam sektor utama dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dengan memanfaatkan kekuatan dan sinergi antara Johor dengan Singapura.
Pakej insentif cukai JS-SEZ ini melengkapi Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang bertujuan untuk merangsang pelaburan dalam industri bernilai tinggi dan dengan pertumbuhan mampan seterusnya merangsang pembangunan ekonomi yang saksama di seluruh Malaysia.
Pakej insentif cukai ini yang direka untuk memastikan ketelusan dan kebolehcapaian selaras dengan amalan terbaik antarabangsa mencerminkan kerjasama erat antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Johor, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), TalentCorp dan pihak berkepentingan.
Bagi memudah cara proses permohonan pelaburan yang lebih pantas di JS-SEZ, kerajaan juga telah menubuhkan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) untuk menyelaraskan proses pelaburan secara menyeluruh meliputi permohonan dan kelulusan, kemudahan pelaburan dan pelaburan semula.
Butiran lanjut mengenai insentif cukai dan zon andalan akan diumumkan dalam masa terdekat.