Diterbitkan pada 8 Januari 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah USD116.2 bilion pada 31 Disember 2024.

Paras rizab ini telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing dan memadai untuk membiayai lima bulan import barangan dan perkhidmatan dan satu kali jumlah hutang luar negeri dalam jangka masa pendek.

Di bawah ukuran liputan import terdahulu, paras rizab memadai untuk membiayai 5.8 bulan import barangan tertangguh.

Maklumat lanjut mengenai penunjuk baharu ini boleh didapati dalam rencana “Peluasan Ukuran Liputan Rizab bagi Import–daripada Import Tertangguh kepada Import Barangan dan Perkhidmatan” dalam Buletin Suku Tahunan BNM–Suku Keempat 2021, muka surat 27 yang boleh diakses melalui pautan Buletin Tahunan S42021.

Nisbah ini merangkumi data terkini yang tersedia tentang rizab (setakat 31 Disember 2024) dan hutang luar negeri jangka pendek (tersedia setakat suku ketiga 2024).

Mengikut amalan lazim, hutang luar negeri jangka pendek dinilai menggunakan kadar pertukaran setakat suku ketiga 2024.

Hutang luar negeri jangka masa pendek terdiri daripada peminjaman daripada bukan permastautin dengan kematangan satu tahun atau kurang.

Jumlah ini kebanyakannya disumbangkan oleh bank tempatan berhubung dengan operasi mudah tunai mata wang asing mereka dan syarikat multinasional termasuklah bank asing yang membuat pinjaman daripada bank induk atau ibu pejabat mereka di luar negeri.

Kesemua obligasi ini boleh dipenuhi oleh operasi biasa menerusi pemegangan aset luaran mereka dan tidak melibatkan penggunaan rizab antarabangsa BNM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi