Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM500,000 kepada jenama cermin mata yang diusahakan oleh usahawan tempatan Borneo, Robert T 1994.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan itu adalah untuk membantu Robert T 1994 mengembangkan lagi premis mereka di seluruh Sabah.
Beliau berharap syarikat ini akan terus berkembang pesat seperti usahawan francais yang lain.

Ujar beliau,
Melalui pembiayaan RM500,000, saya berharap dana ini akan memberikan motivasi dan inspirasi kepada usahawan lain di seluruh negara agar turut sama mengambil bahagian dalam sektor keusahawanan.
Tambah beliau, KUSKOP dan agensi seperti PERNAS terus menawarkan perkhidmatan dan pembiayaan yang bersesuaian dan diperlukan oleh usahawan agar dapat menyumbang kepada ekonomi negara seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Menurut beliau, PERNAS akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) dan agensi keusahawanan di Sabah seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bagi membimbing usahawan Sabah dalam program Program Pemerkasaan Usahawan Sabah (PUSH).
Jelas beliau,
Usaha ini merupakan sebahagian daripada Dasar Pandang ke Timur Dalam Negara di KUSKOP, iaitu memperkenalkan skim dan inisiatif baharu khususnya untuk usahawan di Sabah dan Sarawak.
Sebagai rakan pimpinan daripada Sabah, beliau mahu memberikan fokus kepada inisiatif yang memberikan manfaat kepada pembangunan keusahawanan Sabah.
Jelasnya, beliau tidak akan menyentuh perkara lain selain fokus bekerja dan akan memulakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemantauan projek sakit di Sabah.
Sekitar 400 projek persekutuan yang lewat, belum mula atau projek sakit dan beliau mahu menumpukan tenaga untuk menjadi sebahagian daripada pemantauan dan penyelesaian ini.