Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Ekonomi bakal memeterai perjanjian berkaitan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada minggu hadapan.
Demikian ucapan Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli dalam Perjumpaan Bulanan Warga Kementerian Ekonomi di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada hari ini.
Menurut beliau, perkara seumpama ini tidak pernah dibuat lagi untuk mewujudkan zon ekonomi khas antara dua buah negara.
Ujar beliau,
Selalunya zon ekonomi khas ini dibuat dalam negara itu sendiri sahaja. Perjanjian tersebut sepatutnya dimeterai pada bulan lepas lagi tetapi terpaksa ditunda ke bulan ini disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan.
Tambahnya lagi,
Sebelum perjanjian dimeterai, JS-SEZ telah membantu sepanjang tahun 2024 untuk membina naratif ekonomi Malaysia. Sebahagian besar minat yang ada terutama kepada negeri Johor sebenarnya berpunca daripada unjuran penganalisis ekonomi dan pelabur tentang potensi yang ada.
YB Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perkara berkenaan.
Jelas beliau,
Buat mereka yang terlibat, saya tabik kerana perkara itu di luar kemampuan saya. Hal ini demikian kerana kami perlu menghubungkan kerjasama antara pelbagai kementerian dan berunding dengan Singapura.
Beliau turut menyatakan bahawa terdapat banyak perkara atau kelebihan yang tidak terdapat pada pihak swasta, orang politik ataupun pemegang taruh di luar kementerian, iaitu kesabaran dan daya tahan untuk melakukan sesuatu yang terlalu cerewet dan besar.
Pada 11 Januari 2024, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YB Rafizi Ramli dengan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong bagi cadangan merealisasikan JS-SEZ di Johor.