Diterbitkan pada 3 Januari 2025, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menggesa pihak yang terlibat untuk menghentikan sepenuhnya sebarang bentuk pengimportan dan penjualan produk yang mempunyai pelabelan bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit (DLAPO).

Menurut KPK, sebarang aktiviti penampalan label DLAPO tidak akan lagi diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas ini.

Tindakan tegas mengikut peraturan semasa yang berkuat kuasa bakal diambil terhadap mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan sepanjang rantaian bekalan produk.

KPK akan sentiasa memberikan sokongan padu dan kerjasama berterusan kepada pihak KPDN dalam usaha membanteras isu pelabelan yang bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit.

KPK memaklumkan bahawa ribuan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak KPDN di seluruh negara mendapati masih terdapat premis yang menjual produk berlabel DLAPO walaupun Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] berkuat kuasa pada 15 Mac 2022.

Tempoh dua tahun sebagai tempoh penangguhan sudah mencukupi untuk pihak yang terbabit mengambil tindakan sewajarnya seperti mengeluarkan secara sukarela produk DLAPO daripada rak penjualan..

KPK turut menyeru masyarakat agar lebih peka apabila membeli barangan di pasaran. Sekiranya terdapat sebarang produk yang menggunakan pelabelan yang meragukan atau mendiskriminasikan minyak sawit seperti label “Tiada Minyak Sawit”, laporan dan aduan boleh disalurkan melalui mana-mana saluran utama aduan KPDN.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi