3 Januari 2025, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ketamadunan yang dibina oleh manusia tidak dapat dipisahkan daripada kepentingan pembangunan ekonomi, yang merupakan satu daripada tiang utama kejayaan sesebuah negara. Sejak zaman dahulu lagi, manusia terus berusaha mencari peluang untuk menjana ekonomi demi mencapai manfaat dan pulangan yang baik.

Yang turut berfungsi memainkan peranannya ialah institusi pemerintahan yang mempunyai kuasa merangka dan melaksanakan pelbagai dasar bertujuan untuk meningkatkan pendapatan negara. Satu daripada dasar utama yang diterapkan di seluruh dunia adalah dasar percukaian. Melalui sistem percukaian, negara dapat mengumpulkan dana yang penting untuk merancang pembangunan dan melaksanakan projek-projek yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Menurut Kamus Dewan, cukai merujuk kepada bayaran yang dikenakan oleh kerajaan terhadap individu, syarikat, atau barang-barang untuk perbelanjaan negara. Dalam konteks yang lebih luas, Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) mentakrifkan cukai sebagai pajakan yang dikenakan terhadap barang atau perkhidmatan tertentu yang mempunyai kesan luaran atau sifat mewah. Sejarah sistem percukaian Islam bermula sejak zaman Rasulullah SAW melalui pembentukan Piagam Madinah. Piagam ini menetapkan bayaran “Jizyah” untuk orang bukan Islam dan zakat untuk umat Islam.

Pada zaman khalifah Umar al-Khattab, sistem percukaian Islam diperkemas dengan pengenalan cukai baharu seperti cukai al-Kharaj (cukai tanah), cukai al-‘Usyur (cukai perdagangan) dan lain-lain. Walau bagaimanapun, isu percukaian ini telah menjadi polemik dalam kalangan segelintir umat Islam yang berpendapat bahawa sistem cukai seharusnya tidak dikenakan kepada orang Islam, memandangkan pada zaman Rasulullah SAW, umat Islam hanya dikenakan zakat dan bukan cukai.

Sebenarnya, isu percukaian ini berkait rapat dengan pentadbiran hal ehwal negara umat Islam. Dalam konteks ini, pihak pemerintah yang mentadbir negara perlu menilai pelaksanaan sistem percukaian dengan teliti, berasaskan kepada prinsip kebaikan (maslahah) dan menolak kemudaratan, asalkan tidak bercanggah dengan tuntutan syarak.

Hal ini bermakna, keputusan mengenai percukaian tidak hanya bergantung pada faktor agama, tetapi juga harus mempertimbangkan kebaikan bersama untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Para sarjana Islam berbeza pendapat tentang hukum pelaksanaan cukai, dan perbezaan ini mencerminkan dua pandangan utama dalam kalangan mereka.

Golongan pertama berpendapat bahawa pengenaan cukai adalah haram, berdasarkan hujah-hujah yang disokong oleh sarjana seperti Ibnu Muflih, al-Buhuti, al-Hijawi, dan Ibnu al-Azraq. Mereka berpendapat bahawa pengutipan cukai adalah suatu bentuk kezaliman, iaitu harta rakyat diambil secara haram dan diagihkan kepada pihak yang tidak berhak. Imam Ibn Hajar al-Haitami, misalnya, menyatakan bahawa pengutip cukai, saksi, dan semua yang terlibat dalam proses kutipan cukai akan mendapat dosa besar kerana mereka membantu dalam kezaliman. Berdasarkan ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 188, mereka berhujah bahawa mengutip cukai adalah sebahagian daripada pengambilan harta yang bukan hak.

Selain itu, sebuah hadis riwayat Ahmad menyebutkan, “Sesungguhnya pemimpin yang mengenakan al-Maks (cukai) adalah di dalam neraka.” Bagi golongan ini, pengutipan cukai adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip keadilan dalam Islam.

Sebaliknya, golongan kedua berpendapat bahawa mengenakan cukai adalah harus, selagi bertujuan untuk mencapai kebaikan umum dan kemaslahatan negara. Mereka menyatakan bahawa cukai boleh dikenakan oleh kerajaan untuk memenuhi keperluan pentadbiran dan pembangunan negara. Pandangan ini dipegang oleh sarjana seperti Ibn Hazm, Imam Ibn Taimiyyah, Ibn Khaldun, dan al-Syatibi. Mereka berhujah bahawa sekiranya kerajaan memerlukan dana untuk kepentingan umum, seperti mempertahankan negara atau membangunkan infrastruktur, maka pengenaan cukai adalah dibenarkan. Sebagai contoh, al-Syatibi menjelaskan dalam kitabnya al-Muwafaqat bahawa pemimpin yang adil boleh mengenakan cukai kepada rakyat kaya untuk memenuhi keperluan pertahanan negara atau menjaga kestabilan ekonomi negara.

Golongan kedua ini juga merujuk kepada ayat al-Quran dalam Surah At-Taubah ayat 41, yang menggalakkan umat Islam untuk berjihad dengan harta dan jiwa di jalan Allah. Dalam konteks ini, pengeluaran harta untuk kepentingan negara (termasuk cukai) dilihat sebagai sebahagian daripada kewajipan jihad untuk menjaga keselamatan dan kestabilan negara. Mereka juga mengemukakan hadis riwayat al-Tirmizi yang menyebut bahawa “Sesungguhnya dalam harta itu ada hak yang wajib dikeluarkan selain zakat.”

Berdasarkan perbezaan pandangan ini, pandangan kedua yang membenarkan pengenaan cukai dilihat lebih kuat dan menjadi pendapat majoriti para ulama, termasuk Imam Malik, Imam Syafii, dan Imam Hanbali. Pandangan ini juga sejajar dengan tindakan Khalifah Umar al-Khattab yang memperkenalkan cukai baharu untuk memenuhi keperluan negara. Hal ini menunjukkan bahawa pemerintah atau kerajaan berhak mengenakan cukai demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Oleh itu, adalah penting untuk mengikuti arahan pemerintah dalam hal percukaian untuk menjamin kesejahteraan negara dan memastikan keberkatan hidup sebagai warganegara yang taat. Semoga dengan melaksanakan kewajipan ini, negara dapat terus maju dan makmur, serta menerima keberkatan daripada Allah SWT.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.