Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bertekad untuk membangunkan sebidang tanah rizab Melayu berkeluasan 50 ekar bersama-sama dengan Bandar Malaysia Sdn. Bhd. (BMSB) yang merupakan sebahagian daripada perancangan Bandar Malaysia.
Pembangunan Bandar Malaysia ini menandakan komitmen kerajaan untuk merealisasikan kota futuristik yang bakal menjadi hab perniagaan antarabangsa yang menghubungkan pelabur, perniagaan, bakat dan komuniti dalam persekitaran dinamik yang memacu inovasi dan kreativiti.
DPMM amat menghargai iltizam yang telah ditunjukkan oleh pengurusan BMSB dalam menyokong usaha kerajaan untuk memastikan keterlibatan DPMM dan pemilikan hartanah bumiputera dalam pembangunan sebuah kota metropolitan khususnya di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur dapat direalisasikan.
DPMM sebagai pertubuhan yang dianggotai usahawan dan teknokrat mewakili pelbagai sektor ekonomi mampu menggembleng pakar yang mampu membina mercu tanda bertaraf dunia.
Pada masa yang sama, DPMM tidak akan meminggirkan tanggungjawab sosial pertubuhan yang telah berusia 88 tahun untuk menyediakan kemudahan perniagaan dan tempat tinggal yang mampu dimiliki.
DPMM sedang mengkaji instrumen wakaf sebagai satu daripada kaedah untuk memastikan tanah rizab Melayu di Bandar Malaysia terus makmur, maju dan terpelihara.
Sebagai perantara antara kerajaan dengan pihak swasta, DPMM berada pada kedudukan terbaik untuk memastikan agenda bumiputera khususnya matlamat Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dapat dicapai.