Diterbitkan pada 24 Disember 2024, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sehingga penghujung bulan November 2024, semua Dana Harga Berubah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengatasi penanda aras masing-masing berdasarkan jumlah pulangan setahun. Kejayaan ini turut menempatkan dana tersebut dalam dua kuartil teratas dalam kalangan dana setara di segmen masing-masing.

Antara pencapaian utama termasuklah enam dana ekuiti ASNB yang mencatatkan jumlah pulangan satu tahun antara 15% hingga 33% setakat 30 November 2024. Dana terawal ASNB, iaitu Amanah Saham Nasional (ASN) dan ASN Equity Malaysia, masing-masing merekodkan pulangan sebanyak 23.4% dan 33.2%.

Tahun ini juga menyaksikan aset di bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat kepada RM347 bilion daripada RM337 bilion yang direkodkan pada tahun sebelum, dengan bilangan akaun meningkat 3.2% kepada 16.2 juta, dengan ASNB menambah lebih 400,000 pemegang unik baharu dan kini menjadi pelaburan pilihan lebih 13 juta rakyat Malaysia. 

Walau bagaimanapun, usaha menggalakkan rakyat Malaysia untuk menabung kekal sebagai cabaran kritikal. Hal ini dibuktikan dengan data Bank Negara Malaysia yang menunjukkan bahawa pertumbuhan simpanan sukarela (tidak termasuk caruman KWSP) adalah kurang daripada 5% dalam tempoh lima tahun yang lalu. 

Bagi menangani cabaran ini, PNB telah menjadikan peningkatan simpanan pelanggannya sebagai tumpuannya di bawah Pelan Strategik baharu, iaitu LEAP 6. Pelan strategik itu menggariskan sasaran tinggi untuk meningkatkan AUM PNB kepada RM400 bilion menjelang tahun 2027 melalui pelaksanaan transformasi merentas enam teras utama yang meliputi Jualan dan Pengedaran, Pelaburan, Transformasi PNB Co., Pengetahuan, Inovasi dan Kemampanan. 

Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, YBhg. Dato’ Abdul Rahman Ahmad berkata, “PNB komited untuk mengembangkan simpanan rakyat Malaysia dengan menggalakkan mereka menyimpan lebih banyak dan menambah simpanan tersebut melalui pemberian pulangan yang mampan serta menerajui pasaran”.

Menurut beliau, PNB akan mempertingkatkan usaha mendidik rakyat Malaysia melalui pelaksanaan program celik kewangan serta penyediaan sumber pendidikan yang bertujuan untuk memperkasakan rakyat dengan pengetahuan bagi membuat keputusan kewangan yang bijak.

“Kami juga akan mempergiatkan inisiatif pemasaran untuk menekankan kepentingan memupuk tabiat menyimpan secara konsisten demi jaminan kewangan jangka panjang,” tambah beliau.

Melalui kerjasama dengan kerajaan, Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) tahun ini turut menyaksikan pelancaran Celik Kewangan Belia MADANI, sebuah inisiatif yang menyasarkan sejuta pelajar universiti untuk melabur dengan ASNB bagi menyemai budaya menabung dan tabiat pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia. 

“Melangkah ke hadapan, kami akan meningkatkan usaha ini melalui transformasi model jualan dan pengedaran kami dan secara agresif. Tindakan segera termasuklah pengaktifan beberapa kempen untuk menggalakkan simpanan dan pelaburan berulang oleh rakyat Malaysia. Perkara ini dilaksanakan melalui ciri pelaburan automatik Auto Labur, yang membolehkan pelabur melabur secara tetap dan automatik dengan serendah RM10 sebulan,” tambah YBhg. Dato’ Abdul Rahman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi