Diterbitkan pada 24 Disember 2024, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini. 

Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit dan bonus sebanyak 0.25 sen seunit. Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion ini akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.

Menurut kenyataan media PNB, ASB bakal memberikan pulangan yang mampan, mengatasi pulangan pasaran serta penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank. 

Bilangan akaun ASB meningkat 2.4% kepada 11.1 juta akaun pada tahun ini ketimbang 10.8 juta akaun tahun lalu.

”Kami berbesar hati kerana ASB mampu memberikan agihan dividennya yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun. Rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding dengan portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi,” ujar Pengerusi Kumpulan PNB, Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda.

Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah lebih tinggi berbanding dengan 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023. Hal ini menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion. 

Prestasi ASB ini didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara yang teguh dan pengukuhan ringgit. 

Sementara itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.3% pada suku ketiga tahun ini berbanding dengan 3.3% pada tahun lalu, dengan sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan menyumbang kepada peningkatan peratus KDNK dan pengukuhan ringgit yang meningkat 14.9% dari awal tahun sehingga bulan November 2024.

Susulan daripada prestasi lemah selama sedekad, Bursa Malaysia KLCI menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada tahun 2024. Sehingga bulan November 2024, KLCI telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.0% dari awal tahun ini, memberikan petanda bahawa pasaran saham Malaysia sedang dalam proses pemulihan. Perkara ini merupakan perubahan yang ketara berbanding dengan prestasi 10 tahun sebelumnya, menyaksikan KLCI mencatatkan penurunan keseluruhan sebanyak 22.1% sehingga 31 Disember 2023.

“Walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif MADANI kerajaan, termasuklah pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP),” tambah Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad. 

Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan baki bulanan minimum purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2025. 

Transaksi untuk ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuklah semua saluran dalam talian dan perbankan Internet, akan digantung sementara dari 28 hingga 31 Disember 2024. Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di semua saluran dalam talian dan perbankan Internet bermula 1 Januari 2025, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB bermula 2 Januari 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi