Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSubang — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan komited dalam usaha memperkukuhkan pembangunan negeri, khususnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Dalam pertemuan bersama-sama dengan pengamal media di Dorsett Grand Hotel, Subang semalam, beliau memaklumkan tentang peningkatan saluran dana kerajaan pusat untuk pembangunan dan penambahbaikan projek infrastruktur bagi menangani isu banjir dan kemiskinan.
Menurut beliau, Kedah menerima peningkatan dana daripada RM5.23 juta pada tahun 2024 kepada RM5.32 juta pada tahun 2025. Sebanyak 488 projek bernilai RM2.236 bilion akan dilaksanakan pada tahun 2025 berbanding dengan 430 projek bernilai RM1.786 bilion pada tahun 2024.
Masalah banjir di Kedah akan diberi tumpuan melalui projek tebatan banjir dengan peruntukan RM132 juta untuk tahun hadapan berbanding dengan RM73.6 juta pada tahun ini.
Projek bekalan air turut diberi perhatian dengan peruntukan RM78.6 juta.
Peruntukan keseluruhan untuk Kelantan pula meningkat daripada RM380.261 juta pada tahun 2024 kepada RM429 juta pada tahun 2025. Bilangan projek pembangunan dikatakan meningkat daripada 425 kepada 471 projek dengan nilai hampir RM2.8 bilion.
Projek tebatan banjir di Kelantan menerima peruntukan RM146 juta pada tahun 2025, manakala projek bekalan air melonjak kepada RM515 juta.
Di Terengganu, peruntukan meningkat daripada RM431.7 juta pada tahun 2024 kepada RM450.115 juta pada tahun 2025. Projek pembangunan bernilai RM1.84 bilion akan dilaksanakan, termasuklah projek tebatan banjir yang dinaikkan kepada RM77 juta dan projek bekalan air bernilai RM2.6 juta.
Dalam sesi dialog tersebut, Perdana Menteri turut menyentuh tentang prestasi jemaah menteri dalam membasmi kemiskinan tegar, dasar luar dan ekonomi negara di tengah-tengah perubahan dinamik global, isu serantau dan kebangkitan ASEAN.
Kerajaan terus komited mempertingkatkan usaha untuk menangani isu banjir dengan persediaan menghadapi musim hujan di Sabah dan Sarawak pada Januari akan datang.
Peningkatan dana dan projek yang diumumkan ini menggambarkan keutamaan kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara serta memacu pembangunan negeri ke arah yang lebih mapan.