Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pelancongan domestik di Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada suku tahun ketiga 2024, merekodkan 66.3 juta pelawat dengan peningkatan sebanyak 22.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik menurun 3.2 peratus berbanding suku tahun kedua 2024.
Perbelanjaan pelancongan domestik turut menunjukkan pertumbuhan yang signifikan, mencatatkan RM25.6 bilion, iaitu meningkat 27.4 peratus tahun ke tahun. Namun begitu, perbandingan dengan suku tahun kedua 2024 menunjukkan penurunan sebanyak 9.1 peratus.
Statistik ini diketengahkan dalam Buletin Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS), Suku Tahun Ketiga 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis lalu.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, sehingga September 2024, pelancongan domestik Malaysia telah merekodkan sejumlah 193.3 juta pelawat, iaitu menunjukkan peningkatan 21.8 peratus tahun ke tahun.
“Perbelanjaan pelancongan domestik bagi sembilan bulan pertama tahun 2024 telah mencapai RM77.8 bilion, menggambarkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 27.2 peratus tahun ke tahun.”
Ujar beliau, prestasi berkaitan dengan industri pelancongan pada suku tahun ketiga 2024 adalah menggalakkan, di mana nilai jualan runcit bahan api meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun, diikuti oleh trafik lebuh raya (meningkat 5.5 peratus), ketibaan di lapangan terbang domestik (meningkat 3.5 peratus) dan hasil zoo (meningkat 1.7 peratus).
Untuk sektor penginapan, jumlah hasil meningkat 12.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini disokong oleh kadar penghunian hotel lima bintang yang meningkat 1.1 peratus, diikuti oleh hotel empat bintang (meningkat 4.2 peratus) dan hotel tiga bintang (meningkat 0.2 peratus). Sementara itu, kadar penghunian mengikut lokasi di bandar meningkat 3.4 peratus, berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.
“Pelancongan domestik Malaysia merupakan salah satu tonggak utama ekonomi negara yang dipacu oleh pertumbuhan bilangan pelawat, perbelanjaan yang tinggi dan prestasi yang kukuh merentasi industri berkaitan pelancongan. Pertumbuhan ini dijangka berterusan, mengukuhkan kepentingan sektor ini terhadap kesihatan ekonomi keseluruhan negara,” jelas beliau.