Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMeru – Bagi memastikan Perak menjadi peneraju ekonomi masa hadapan serta mengikut acuan dan keperluan negeri, kaedah dan model terbaik perlu diteroka untuk menggalakkan pelaburan langsung tempatan (domestic direct investment) dan pelaburan langsung asing (foreign direct investment) yang dapat mewujudkan jaringan dan ekosistem ekonomi yang berdaya saing.
“Strategi yang dibina melalui kaedah dan model ini akan menarik pelaburan yang seterusnya membuka peluang kolaborasi antara syarikat besar, pelabur asing dan peniaga kecil dan sederhana (PKS) Perak,” ujar Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam majlis Perak Economic Outlook 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru semalam.
Menurut beliau, langkah ini penting untuk memastikan kelangsungan momentum pacuan ekonomi negeri termasuklah lima projek pemacu perubahan ekonomi Perak yang sedang giat dijayakan, iaitu Automative High Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim; Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) di daerah Manjung; Silver Valley Technology Park (SVTP) di daerah Kinta; Perak Halal Industrial Park @ Lekir (Perak HIP) dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).
Bagi menjamin pacuan ekonomi yang berlanjutan, Perak mesti tampil dengan keberanian dan keyakinan untuk bersaing pada peringkat global. Dalam era globalisasi yang berubah dengan begitu pantas, Perak harus tangkas untuk meneroka peluang baharu, memecah sempadan tradisi dan mencipta keunggulan tersendiri untuk kekal berdaya saing.
Memasuki tahun kedua penganjurannya, Perak Economic Outlook ini berfungsi sebagai landasan strategik negeri dalam merancang dan meneroka kaedah luar kotak melalui wacana yang akan dikupas oleh ahli panel forum yang berkaliber.
Pentas ini merupakan platform penting untuk kita meneliti kedudukan negeri Perak dalam landskap ekonomi Malaysia, menilai prestasi ekonomi semasa, serta membuka ruang penerokaan strategi dan peluang masa hadapan.
Menurut hasil dapatan input penganjuran pada tahun lalu, Kerajaan Negeri Perak membangunkan ekonomi penjagaan sebagai sebahagian daripada kerangka ekonomi Perak dengan meneliti langkah yang wajar bagi merealisasikan potensi sektor ini.
“Usaha ini selaras dengan hasrat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dapat memenuhi keperluan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh seperti yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030,” ujar beliau.
Dalam usaha untuk merancang masa hadapan yang lebih cerah untuk negeri dan negara, YAB Dato’ Seri Saarani menekankan bahawa pemahaman terhadap trend global adalah penting.
Beliau memetik lima tema utama yang menjadi tumpuan perbincangan forum antarabangsa Khazanah Megatrends Forum (KMF) yang diadakan pada Oktober lalu, iaitu Kemajuan Teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI); Perubahan Demografi dan Sosial; Urbanisasi; Perubahan Iklim dan Kekurangan Sumber dan Teknologi Baharu (Emerging Technology).
“Megatrend merujuk kepada perubahan besar dalam jangka masa panjang, menuntut kita untuk bersedia, bertindak secara proaktif dan memimpin perubahan agar negeri Perak kekal relevan dan berdaya saing pada peringkat global,” ujar beliau.
Sebagai negeri yang progresif dan bersifat dinamik, Perak tidak boleh hanya bersikap reaktif terhadap megatrend ini, tetapi mesti bertindak proaktif untuk memastikan negeri ini mampu mencipta peluang daripada perubahan global yang sedang berlaku.
Majlis ini turut menyaksikan dua sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU). Pertama, antara Digital Perak dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memeterai kerjasama strategik untuk memperkasakan agenda pembangunan inisiatif bandar pintar di negeri Perak.
Sesi kedua melibatkan MoU antara Institut Darul Ridzuan dengan Singapore University of Social Sciences (SUSS) yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pembangunan kapasiti, penyelidikan, pembangunan dan pengetahuan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi SKMM, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi; Penasihat Kanan SKMM, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini; Ketua Pegawai Eksekutif DPCH, YBrs. Encik Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir; Pengarah Urusan SKMM, YBhg. Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Encik M Azahari Edin.
Tema forum Perak Economic Outlook pada tahun ini, iaitu Pengukuhan Ikatan bersama Rakan Industri menekankan kerjasama kukuh antara sektor awam dengan swasta. Perkongsian ahli panel forum mewakili 13 agensi dan organisasi yang terdiri daripada PLANMalaysia@Perak; Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk); PETRONAS Dagangan Berhad; Gamuda Berhad; Sabah Maju Jaya Secretariat (SMJ); Sabah Energy Corporation; Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS); Federation of Manufacturer Malaysia (FMM) Perak; Universiti Hamad Bin Khalifa, Qatar; SUSS, Singapura; Nutrious Farms; The Next Twenty Group dan Imperia Asia International Sdn. Bhd.
Sebagai rekod, forum ini melibatkan lebih 700 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, pegawai daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Orang Besar Jajahan (OBJ), selain penyertaan daripada pemain industri, badan pemikir, pakar bidang dan ahli akademia.