10 Disember 2024, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyarankan kepada semua pembayar cukai untuk menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing terlebih dahulu sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara.

Menurut Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976, HASiL diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan.

Sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir yang boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai  masih  lagi  gagal  membuat  bayaran  terhadap  baki  cukai  yang tertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis telah diberikan.

Sehingga 30 November 2024, bilangan kes sekatan perjalanan adalah seperti yang berikut:

Semua pembayar cukai boleh  menyemak status tunggakan cukai masing-masing menerusi portal MyTax yang boleh dicapai melalui https://mytax.hasil.gov.my/.

Selain itu, semakan sekatan perjalanan ke luar negara boleh dilakukan menerusi portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui https://sspi.imi.gov.my/sspi/.

Sebagai maklumat tambahan, mulai 4 Mac 2024 permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian menerusi perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan yang boleh diakses melalui portal MyTax.

Permohonan pembatalan sekatan perjalanan juga boleh dilakukan dengan prosedur dan saluran sedia ada, iaitu dengan menghubungi Pusat Hubungan HASiL melalui talian 03-8911 1000 atau hadir ke pejabat HASiL berhampiran.

Maklumat lanjut berkenaan e-Sekatan Perjalanan boleh dirujuk pada soalan lazim permohonan pembatalan sekatan perjalanan menerusi capaian pantas https://www.hasil.gov.my/individu/lain-lain/soalan-lazim-individu/.

HASiL juga ingin menjelaskan bahawa tindakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap mana-mana pihak bukan bertujuan menafikan hak mereka tetapi tindakan tersebut merupakan satu daripada usaha untuk menguatkuasakan undang-undang percukaian sedia ada kepada pembayar cukai yang gagal melunaskan tunggakan cukai.

Oleh itu, pembayar cukai perlu sentiasa peka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka pada setiap masa dan jangan bertangguh dalam menyelesaikan hal percukaian bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan.

HASiL yakin bahawa pentadbiran sistem percukaian yang adil dan cekap dapat meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap sistem percukaian negara sekali gus membantu dalam pembangunan dan kemakmuran negara. Rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab demi masa depan Malaysia yang tercinta.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Pusat Hubungan HASiL (HCC) melalui talian 03-8911 1000/603-8911 1000 (Luar Negara);
  2. Sembang Langsung HASiL; dan
  3. Borang Maklum Balas menerusi portal rasmi HASiL melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.