Diterbitkan pada 10 Disember 2024, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Fasa pertama perdagangan tenaga boleh baharu (TBB) merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura dengan kapasiti 50MW akan dimulakan pada bulan Disember 2024.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura yang julung kali diadakan ini ialah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada bulan Jun 2024.

ENEGEM ini membolehkan perolehan dan pembekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia ke Singapura dilakukan secara bidaan kompetitif.

Tambah PETRA, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai syarikat utiliti nasional akan membekalkan elektrik tersebut ke Singapura menerusi Syarikat Sembcorp Power dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada antara kedua-dua negara.

Bidaan menerusi ENEGEM adalah sebahagian daripada inisiatif PETRA di bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu (CBES RE) yang akan dilaksanakan secara berfasa dengan jumlah kapasiti sehingga 300MW.

Pelaksanaan CBES RE ini adalah selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN yang merupakan satu daripada agenda utama negara untuk Kepengerusian ASEAN–Malaysia pada tahun 2025.

Majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) antara TNB dengan Sembcorp Power Pte. Ltd. (Sembcorp Power) yang disaksikan oleh wakil kerajaan kedua-dua negara telah diadakan semalam di PETRA.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi