Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Seramai 15 orang usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menerima pengiktirafan dan penghargaan dalam Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2023/2024 yang berlangsung di Hotel Marriott, Putrajaya semalam.
Majlis yang turut disiarkan secara dalam talian melalui laman Facebook MARA telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis AURA diadakan secara dwitahunan bagi meraikan kecemerlangan usahawan bumiputera dalam pelbagai sektor.
Pada tahun ini, AURA menyaksikan peningkatan penyertaan seramai 596 pencalonan daripada 14 negeri berbanding dengan 247 pencalonan pada tahun 2022.
Sementara itu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian berkata, kejayaan luar biasa yang telah dicapai oleh 15 usahawan MARA di MIHAS@Dubai baru-baru ini yang telah memperoleh tempahan jualan mencecah RM130 juta membuktikan keupayaan usahawan Malaysia untuk bersaing dalam pasaran global.
Ujar beliau lagi,
Lebih membanggakan, keseluruhan jualan di MIHAS@Dubai selama tiga hari telah mencatatkan jualan sebanyak RM2.2 bilion.
Beliau turut menyeru usahawan MARA meneroka peluang yang lebih luas menerusi platform ASEAN 2025 semasa Kepengerusian Asean 2025 pada tahun hadapan dengan mengetengahkan produk tempatan.
Tambah beliau, persediaan ke arah usaha ini perlu dimulakan dari sekarang dengan meningkatkan produktiviti masing-masing.
Saya ingin membawa usahawan untuk mempamerkan produk kita di Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) + China yang akan diadakan pada pertengahan tahun hadapan selain mahu usahawan yang lahir dari MARA terutamanya usahawan wanita untuk mempamerkan produk pada Sidang Kemuncak Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@ ASEAN yang akan diadakan di negara kita.
Antara penerima anugerah AURA 2023/2024 semalam termasuklah Bateriku (M) Sdn. Bhd. bagi Anugerah Tokoh Usahawan MARA, Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn. Bhd. bagi kategori Anugerah Jenama Terbaik dan FA Medical Sdn. Bhd. bagi kategori Anugerah Usahawan Program Khas MARA.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.