Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor memaklumkan bahawa penganjuran Dialog Meja Bulat Halal ASEAN bertujuan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dalam industri halal di ASEAN.
Penganjuran program ini akan berlangsung pada 7 Disember 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara ASEAN melalui industri halal, membincangkan isu berkaitan dengan pensijilan halal, serta menyokong pembangunan ekonomi halal yang mampan.
Di samping itu, dialog ini juga akan memfokuskan cadangan penubuhan Sekretariat Dewan Perdagangan Negara-Negara ASEAN yang khusus untuk mengembangkan industri halal di seluruh ASEAN.
Sepanjang program, peserta akan diberi peluang untuk mendengar pembentangan oleh pakar industri halal serta mengambil bahagian dalam perbincangan mendalam mengenai cabaran dan peluang yang dihadapi oleh usahawan halal ASEAN.
Acara ini akan dihadiri oleh lebih 100 orang peserta, termasuk wakil Dewan Perdagangan dari negara ASEAN serta negara jemputan lain seperti Pakistan, Turkiye, China, Bangladesh, dan Mongolia.
Program ini juga akan melibatkan pemerhati daripada kementerian, agensi dan pihak industri yang terlibat dalam pembangunan industri halal.
Program ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation Berhad (HDC), Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Exco Industri Halal Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
DPIM Selangor yakin bahawa program ini akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan industri halal di ASEAN, membuka peluang kerjasama yang lebih luas, serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam sektor halal.