Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi di bawahnya menawarkan moratorium pembayaran balik pinjaman bagi tempoh tiga bulan hingga enam bulan khusus buat usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.
Menurut KUSKOP, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat usahawan dan koperasi yang mengalami kerugian akibat kerosakan premis, peralatan dan stok barangan perniagaan.
Pelaksanaan moratorium kepada usahawan yang menjadi mangsa banjir ini sejajar dengan prinsip MADANI dan dalam tempoh moratorium, mereka mempunyai masa untuk memberikan fokus kepada usaha pemulihan tanpa memikirkan tekanan kewangan untuk membayar pinjaman.
Menurut KUSKOP lagi, usahawan yang terjejas boleh menghubungi pejabat cawangan agensi KUSKOP berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan tawaran inisiatif banjir.
Pada masa ini, misi bantuan awal KUSKOP melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) telah digerakkan di beberapa lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Tambah KUSKOP, TEKUN telah melaksanakan aktiviti penyediaan makanan kepada 1,500 orang mangsa banjir, iaitu Pusat Pemindahan Sementara di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
Di Kedah pula, penduduk kampung yang terputus bekalan air bersih turut diberi bantuan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui Koperasi Melayu Pulau Pinang Berhad yang telah melaksanakan bantuan khidmat masyarakat.
Bekalan air bersih dari telaga boring milik Koperasi dihantar kepada penduduk sekitar Jeneri, Kedah bagi meringankan beban penduduk dengan membekalkan air bersih setelah lebih daripada tiga hari penduduk kampung terputus bekalan air.
Tambah KUSKOP, pihaknya juga telah merangka pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara besar-besaran selepas banjir pulih dengan pelbagai inisiatif bantuan dan program pembersihan pascabanjir yang akan dilaksanakan oleh Skuad Ihsan MADANI KUSKOP.
KUSKOP amat prihatin terhadap mangsa banjir di seluruh negara ketika ini, terutamanya usahawan PMKS yang tidak dapat mencari rezeki akibat bencana berkenaan.