Diterbitkan pada 2 Disember 2024, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jualan MADANI bersempena dengan sambutan Dua Tahun MADANI (2TM) mencatatkan nilai jualan keseluruhan RM676,230.20 serta potensi jualan dan pembiayaan sebanyak RM50,607,500.

Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), daripada jumlah keseluruhan nilai jualan itu, Jualan Usahawan MADANI yang disertai 85 orang usahawan mencatatkan jualan sebanyak RM386,556.75.

Selain itu, Jualan Murah MADANI yang disertai enam orang pemain merekodkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM289,673.45.

Dalam tempoh tiga hari program 2TM yang berlangsung dari 22 November hingga 24 November 2024, Padan Niaga yang disertai 10 buah syarikat utama dan biaya usahawan oleh 18 buah institusi pembiayaan pula mencatatkan potensi jualan dan pembiayaan sejumlah RM50,607,500.

Tambah KUSKOP, nilai keseluruhan jualan MADANI di Program 2TM itu melebihi nilai keseluruhan Jualan Mega MADANI sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Perpaduan pada 8 Disember hingga 10 Disember 2023 di Stadium Bukit Jalil yang mencatat nilai jualan keseluruhan RM645,000 dan potensi padan niaga RM3,395,000.

Antara aktiviti lain yang disediakan untuk pengunjung di reruai KUSKOP termasuklah pameran produk Satu Daerah Satu Industri (SDSI), produk pemasaran dalam talian (MyMall), produk berorientasikan pelancongan dari setiap negeri (KIRANA) di samping pendaftaran status Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME Corp. Malaysia dan pendaftaran Usahawan MyMall.

Menurut KUSKOP, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil (BKPPK) merupakan peneraju jualan MADANI dalam program 2TM yang bertemakan “MADANI di Hati, Rakyat Disantuni”.

KUSKOP mengetuai Jawatankuasa Jualan Sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi