Diterbitkan pada 20 November 2024, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) terus memantau pasaran pertukaran asing ringgit berikutan perkembangan utama global.

FMC telah bermesyuarat pada 18 November 2024 untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran pertukaran asing ringgit, khususnya selepas keputusan pilihan raya AS dan kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan ekonomi China.

Ketidakpastian susulan perkembangan ini telah meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran pertukaran asing global dan serantau, termasuk ringgit.

Sejak awal bulan Oktober, nilai ringgit telah menurun kepada 4.4792 berbanding dengan nilai sebelum ini, didorong terutamanya oleh pelarasan portfolio bukan pemastautin melalui aktiviti lindung nilai terhadap dolar yang secara amnya kukuh.

FMC menyatakan bahawa ringgit terus mengatasi prestasi mata wang serantau yang lain dan mengekalkan prestasi positif berbanding dengan dolar AS untuk tahun ini.

Pemerhatian utama yang menyokong prestasi positif ringgit termasuklah:

  1. Keyakinan pelabur terhadap daya tahan pasaran kewangan domestik kekal kukuh seperti yang ditunjukkan oleh aliran masuk bukan pemastautin sebanyak USD1 bilion dalam pasaran bon dan USD200 juta dalam pasaran ekuiti pada tahun ini.
  2. Pelabur dan syarikat korporat pemastautin terus menjalankan penukaran hasil eksport, pendapatan dan lebihan mata wang asing selaras dengan keperluan operasi dan pelaburan.
  3. Walaupun terdapat peningkatan ketidaktentuan, purata ketidaktentuan tersirat satu bulan bagi ringgit sejak awal tahun sehingga kini terus terkawal pada 4.5% (2023: 5.3%), berbanding dengan purata serantau sebanyak 6.0%.
  4. Pasaran pertukaran asing kekal teratur dengan mudah tunai yang mencukupi dan jumlah purata dagangan harian yang utuh sebanyak USD17.6 bilion.

FMC mengalu-alukan usaha berterusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan aliran masuk wang yang lebih konsisten oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta libat urus yang lebih giat dengan syarikat korporat dan perniagaan Malaysia.

Selain itu, BNM telah mengembangkan program Pelabur Residen yang Layak (QRI) yang menawarkan fleksibiliti kepada syarikat korporat pemastautin untuk melabur semula di luar negara selepas membawa balik dana asing.

Langkah tersebut menyokong aliran masuk yang berterusan dan mudah tunai pasaran domestik.

FMC juga mengalu-alukan liberalisasi dasar pertukaran asing (FEP) untuk Bank Pembangunan Pelbagai Hala (MDB) dan institusi kewangan pembangunan (IKP) bukan pemastautin bagi menyokong pelaburan di Malaysia.

FMC berpandangan bahawa asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia yang kukuh menyediakan penampan terhadap kejutan luaran.

Oleh itu, BNM bersedia untuk menguruskan ketidaktentuan pasaran dan memastikan fungsi pasaran yang teratur.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi