Diterbitkan pada 18 November 2024, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – TalentCorp melancarkan Laporan Kajian Impak AI, Digital dan Ekonomi Hijau ke atas Tenaga Kerja Malaysia di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Laporan ini bertujuan mempersiapkan tenaga kerja Malaysia menghadapi cabaran masa depan dengan menilai kesan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan ekonomi hijau terhadap pelbagai sektor ekonomi termasuk Sektor Perdagangan Borong dan Runcit (WRT).

Sektor ini menjadi satu daripada fokus utama kajian ini, memandangkan sumbangan besarnya kepada ekonomi negara. Pada tahun 2024, sektor ini menyumbang RM114.1 bilion daripada perdagangan borong dan RM118.5 bilion daripada perdagangan runcit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Sektor ini juga menggaji lebih 1.83 juta pekerja, melibatkan pelbagai jenis aktiviti perniagaan daripada pemborong hingga kepada peruncit khusus dan bukan khusus.

Laporan ini menonjolkan beberapa arah aliran utama dan pemacu transformasi sektor WRT. AI, misalnya, kini memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan operasi seperti pengurusan inventori, penjejakan rantaian bekalan dan perkhidmatan pelanggan melalui bot sembang (chatbot). Transformasi digital pula menyaksikan peruncit semakin banyak menggunakan pendekatan pelbagai saluran (omnichannel) untuk menyediakan pengalaman beli-belah yang lancar bagi pengguna, disokong oleh pelaburan besar dalam platform e-dagang dan analisis data. 

Selain itu, isu kelestarian kini menjadi sebuah keutamaan apabila trend pengguna menunjukkan kecenderungan terhadap barangan mesra alam. Usaha ini turut diperkuat melalui insentif seperti Elaun Pelaburan Hijau (GITA) yang mempromosikan amalan perniagaan lestari.

Kajian ini turut mengenal pasti 80 peranan kritikal dalam sektor WRT, dengan 11 peratus daripadanya sangat terkesan oleh inisiatif AI dan digital. Peranan seperti penyelaras rantaian bekalan dan pembantu runcit memerlukan pekerja untuk beralih kepada kemahiran perdagangan digital dan pengurusan runcit pelbagai saluran. 

Sebanyak 35 peratus jenis pekerjaan dalam industri ini memerlukan peningkatan kemahiran untuk mengendalikan alat digital dan sistem berasaskan AI, termasuk jawatan seperti pembantu jualan dan pengurus inventori. Sebaliknya, 54 peratus jenis pekerjaan dalam industri ini seperti pengurus kedai hanya memerlukan peningkatan kemahiran berterusan untuk kekal relevan.

Laporan ini juga memperkenalkan enam peranan baharu yang penting untuk masa depan sektor ini, termasuk juruteknik AI dan robotik, penyelarasan kelestarian, pembeli peribadi (personal shopper) dan penggaya produk, pakar inovasi, penganalisis digital dan hos siaran langsung (live host). Setiap peranan ini mencerminkan keperluan sektor terhadap teknologi baharu, pengalaman pelanggan yang lebih baik dan amalan mesra alam.

Walau bagaimanapun, sektor ini berdepan cabaran yang ketara seperti kos tinggi untuk menerapkan teknologi baharu, jurang kemahiran dalam kalangan pekerja serta ketidaktentuan ekonomi menjadi halangan utama. Namun begitu, peluang besar tetap wujud melalui usaha digitalisasi dan kelestarian. Penerapan teknologi baharu seperti AI dan rantaian blok (blockchain) dapat meningkatkan ketelusan rantaian bekalan, sementara produk mesra alam mampu menarik pengguna yang lebih prihatin terhadap isu alam sekitar.

Kajian ini turut mengemukakan beberapa inisiatif untuk membantu pihak berkepentingan untuk menyesuaikan dengan perubahan ini. Oleh itu, kerajaan disarankan untuk menyediakan insentif bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melaksanakan teknologi hijau dan digital.

Pemain industri pula digalakkan melabur dalam teknologi baharu untuk meningkatkan kecekapan operasi. Dalam masa yang sama, akademia dan penyedia latihan perlu bekerjasama untuk memastikan kurikulum serta modul latihan relevan dengan kemahiran yang diperlukan oleh sektor ini, khususnya dalam bidang AI, digitalisasi dan kelestarian.

Secara keseluruhannya, laporan ini menyeru kepada kolaborasi erat antara kerajaan, industri dan akademia bagi memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa depan. Transformasi sektor WRT melalui fokus terhadap digitalisasi, kelestarian dan latihan semula pekerja adalah langkah penting untuk memastikan daya saing dan kelangsungan ekonomi negara.

Kredit Foto: Media KESUMA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi