Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKedudukan Malaysia yang strategik di Asia Tenggara memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan luar. Kestabilan ekonomi negara yang dijangka mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5% pada tahun depan menurut Bank Negara Malaysia (BNM) adalah antara faktor utama yang menarik minat pelabur.
Selain itu, tenaga kerja yang berkualiti, pendidikan yang tinggi, serta kadar literasi yang mencapai 95% turut menyumbang kepada kemajuan negara. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa negara menghasilkan sekitar 300,000 graduan setiap tahun yang menjadi penyumbang utama kepada inovasi dan kemajuan teknologi. Lawatan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini turut disebut sebagai langkah penting dalam menarik minat pelabur China untuk melabur di Malaysia.
Menurut Prof. Madya Dr. Pek Chuen Khee dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, antara tiga langkah untuk memperkukuh daya saing negara dalam menarik pelaburan termasuklah pengukuhan dasar mesra pelabur melalui insentif dan cukai yang lebih rendah, peningkatan perlindungan harta intelek untuk memberikan jaminan kepada pelabur asing, pembangunan infrastruktur digital dengan rangkaian 5G dan lebih banyak pembukaan pusat data. Pusat data merupakan tempat menyimpan dan mengurus banyak data serta aplikasi digital. Pusat ini dilengkapi dengan pelayan komputer dan peralatan rangkaian, serta mempunyai sistem sokongan seperti penyejukan dan kuasa sandaran.
Pusat data juga memastikan keselamatan dan kecekapan operasi teknologi maklumat dengan menyediakan akses terkawal kepada data dan melindungi maklumat daripada ancaman siber. Bagi perniagaan dan pelaburan global, pusat data menawarkan kelebihan seperti peningkatan kecekapan operasi, pengurusan data yang lebih baik dan keselamatan data yang lebih terjamin, yang seterusnya meningkatkan daya saing dan keyakinan pelabur terhadap perniagaan tersebut.
Antara faktor yang menjadikan tenaga kerja Malaysia berdaya saing termasuklah kurikulum pendidikan yang berorientasikan teknologi. Namun begitu, Malaysia menghadapi persaingan sengit daripada negara seperti Vietnam dan Singapura yang mempertingkatkan keupayaan sektor inovasi dan teknologi mereka. Menurut Bank Dunia, Vietnam mengalami pertumbuhan ekonomi pesat dengan kadar KDNK sekitar 7% setahun dan menarik pelaburan dalam sektor pembuatan dan teknologi, serta disokong oleh tenaga kerja yang murah dan mahir. Singapura pula sering berada dalam senarai teratas Indeks Inovasi Global dan merupakan pusat kewangan dan logistik serantau yang maju, serta menawarkan persekitaran perniagaan yang sangat mesra pelabur dengan insentif cukai yang menarik. Untuk bersaing dengan negara ini, Malaysia perlu memperkukuh dasar mesra pelabur, meningkatkan perlindungan harta intelek dan mempercepat pembangunan infrastruktur digital seperti rangkaian 5G dan pusat data.
Menurut DOSM, Malaysia menghasilkan lebih daripada 300,000 orang graduan setiap tahun. Namun begitu, masih terdapat kekurangan pekerja dalam bidang teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan rantaian blok, sebagaimana yang dilaporkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam “Future of Jobs Report 2023”. Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberikan peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2023 untuk memperkukuh pendigitalan sistem pendidikan negara. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015–2025 berusaha memperkasakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET). Sukatan pelajaran baharu yang akan diperkenalkan pada tahun 2027 menekankan pendidikan karakter, literasi asas 3M dan kelas pembelajaran bersepadu. Dasar Pendidikan Digital bertujuan menghasilkan generasi yang mahir dalam teknologi dan digital. Gabungan usaha ini memastikan Malaysia tetap kompetitif dalam menghadapi persaingan serantau.
Hubungan baik Malaysia dengan China memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, khususnya dalam bidang infrastruktur digital dan pemindahan teknologi. Pada tahun 1974, Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Razak melakukan lawatan rasmi ke China dan menandatangani perjanjian diplomatik yang pertama dengan negara itu. Hal ini menjadikan Malaysia sebagai negara ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik penuh dengan China. Kerjasama ini diperkuat oleh lawatan Perdana Menteri Malaysia seterusnya yang bertujuan menarik pelaburan dalam sektor teknologi canggih.
Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama lebih daripada satu dekad. China dapat memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan kepada usahawan dan syarikat pemula di Malaysia melalui program seperti Forum Perniagaan Malaysia-China, serta membantu memindahkan teknologi canggih dalam bidang AI dan rantaian blok yang dilaporkan oleh WEF akan menguntungkan negara.
Selain itu, inisiatif bersama seperti projek Laluan Sutera Digital turut meningkatkan kerjasama teknologi antara kedua-dua buah negara. Inisiatif ini yang diperkenalkan oleh Presiden China, Xi Jinping pada tahun 2013 bertujuan untuk memperluas perhubungan fizikal dan digital dari China ke negara rakan kongsi termasuk Malaysia. Menurut laporan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pula, antara insentif yang ditawarkan termasuklah pengurangan cukai dan kemudahan lesen perniagaan.
Pakar teknologi seperti dari International Data Corporation (IDC) meramalkan pelaburan asing di Malaysia akan terus berkembang dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun akan datang selaras dengan usaha kerajaan untuk memperbaik infrastruktur digital seperti rangkaian 5G dan menambah jumlah pusat data sebagaimana yang disokong oleh inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA). Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2025 menekankan kepentingan reformasi ekonomi dan pengukuhan dasar mesra pelabur untuk memastikan pertumbuhan yang mampan. Usaha ini dijangka memperkukuh daya saing Malaysia dalam arena teknologi global.
Sebagai kesimpulan, pelaburan teknologi ialah kunci utama untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia. Dengan mengambil alih kepimpinan ASEAN pada tahun 2025, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan melalui kerjasama antarabangsa. Langkah seperti pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan pengukuhan dasar mesra pelabur akan memastikan negara kekal kompetitif dalam pasaran global. Gabungan usaha ini dijangka memperkukuh sektor teknologi dan inovasi sebagai pemacu utama kepada kemajuan ekonomi pada masa hadapan.