Diterbitkan pada 17 November 2024, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia mencatatkan lebihan Akaun Semasa sebanyak RM2.2 bilion bagi Suku Ketiga 2024 (ST3 2024), menjadikan jumlah keseluruhan RM21.4 bilion dari bulan Januari hingga September tahun ini. Walau bagaimanapun, Akaun Kewangan beralih kepada aliran keluar bersih RM7.5 bilion dengan jumlah aliran keluar bersih terkumpul sebanyak RM9.1 bilion bagi tempoh yang sama.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan terkini pada Jumaat lepas merumuskan prestasi transaksi antarabangsa Malaysia melalui Statistik Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa.

Ketua Perangkawan, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa peralihan kepada aliran keluar bersih pada Akaun Kewangan berpunca daripada aliran keluar pelaburan lain dan pelaburan langsung.

“Pelaburan Lain berubah arah daripada aliran masuk bersih RM35.6 bilion kepada aliran keluar bersih RM6.3 bilion disebabkan oleh pengurangan deposit dan transaksi antara bank dengan institusi kewangan luar negara,” katanya.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) menunjukkan peningkatan dengan aliran masuk bersih RM14.5 bilion pada ST3 2024 berbanding dengan RM9.1 bilion pada suku sebelumnya. FDI tertumpu dalam sektor perkhidmatan khususnya subsektor maklumat dan komunikasi serta perdagangan borong dan runcit dengan Singapura, Hong Kong dan Switzerland sebagai penyumbang utama.

Sebaliknya, Pelaburan Langsung Luar Negara (DIA) meningkat kepada aliran keluar bersih RM18.9 bilion, jauh lebih tinggi berbanding dengan RM5.3 bilion pada suku sebelumnya. Aliran keluar ini tertumpu kepada sektor pembuatan, perkhidmatan dan perlombongan dengan negara destinasi utama seperti Arab Saudi, Indonesia dan Kanada.

Eksport negara bagi ST3 2024 mencatatkan peningkatan 4.1 peratus kepada RM289.6 bilion, didorong oleh permintaan terhadap elektrik dan elektronik, produk petroleum serta minyak sawit. Pasaran utama eksport adalah Singapura, Amerika Syarikat dan China.

Pengimportan turut meningkat sebanyak 5.1 peratus kepada RM266 bilion, didorong oleh barangan perantaraan seperti alat ganti dan aksesori barangan modal.

Akaun Pendapatan Primer mencatatkan defisit RM17 bilion manakala Akaun Pendapatan Sekunder menunjukkan defisit RM2.4 bilion, meningkat daripada suku sebelumnya. Peningkatan defisit ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penghantaran wang lebih tinggi oleh pekerja asing di Malaysia ke negara asal mereka.

Menurut YBrs. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir, lebihan berterusan Akaun Semasa negara disokong oleh eksport bersih barangan dan defisit lebih kecil dalam perdagangan perkhidmatan. Rizab antarabangsa Malaysia berada pada tahap RM491.5 bilion pada akhir suku tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi